Pages

RSS

Welcome to my Blog
Hope you enjoy reading.

About Me

My photo
Hai semua!!! Selamat datang ke blog Ecah. Dalam blog ni, Ecah banyak kongsikan tentang kehidupan dan pengalaman harian especially pasal cooking, baking dan kucing. Blog ni saya dah bina dari zaman uni dulu, tapi kerana kesibukan blog ni adakalanya tergendala updatenya hihi. Ecah memang suka menulis dari zaman sekolah lagi. Ada beberapa cerpen dan novel pendek Ecah pernah tersiar dalam blog Penulisan2u, tapi dah tak boleh clim hak milik kot sebab email tu email lama dan tak boleh buka. huhuhu InsyaAllah kalau diberikan kesempatan, Ecah akan share lebih banyak lagi lepas ni dalam blog ni ok. Manalah tau boleh tulis cerpen atau novel balik dalam blog ni jugak. hihihi Terima kasih kerana sudi membaca. Jangan lupa drop komen ye, insyaAllah nanti Ecah balas.

Tuesday, June 8, 2010

Ingin Ku Petik Cintamu 6

“Assalamualaikum, mama.” Macam selalu, hari ni Faiz datang jumpa mama lagi. Faiz tak pernah jemu ma. Biarpun hari-hari Faiz kena tolong papa mandikan mama. Faiz tak pernah jemu. Biarpun hari-hari Faiz kena menyuapkan mama makan. Faiz tetap tak pernah jemu. Biarpun hari-hari tak ada apa-apa respon yang keluar dari mulut mama bila Faiz bercakap dengan mama. Tak pernah sedikit pun terdetik di hati Faiz perasaan jemu. Tak pernah mama. Walaupun tiada ucapan terima kasih yang mama ucapkan setiap kali itu, tidak mama. Tidak sekali pun Faiz kecewa, merajuk mahupun berputus asa.

Faiz masih ingat mama. Faiz masih ingat macam mana peliknya Faiz mengharungi zaman tumbesaran Faiz. Faiz pelik melihat papa yang setiap hari melayan karenah mama. Bukan setakat tu, papa pun suruh Faiz tolong buat benda yang sama macam yang papa buat pada mama. Seingat Faiz waktu tu mama masih tak boleh duduk macam sekarang. Mama hanya baring atas katil. Mata mama tertutup. Lepas tu banyak betul mesin entah apa-apa dekat sebelah katil mama. Setiap minggu pula, mesti Uncle Remy dan Auntie Mimi akan datang tengok mama.

Tiap-tiap hari papa bersembang dengan mama. Kadang-kadang Faiz tengok papa ketawa sorang-sorang. Kadang papa menangis sorang-sorang. Faiz pelik. Tapi masa tu, apalah yang budak berumur 3 tahun boleh buat. Faiz hanya mampu memandang dan terus bermain dengan permainan yang macam-macam tu.

Tapi, seingat Faiz, bila Faiz dah besar dan ada akal sikit, Faiz cuba beranikan diri. Faiz nak tanya papa. Sampai satu hari, Faiz tanya papa sendiri, “Papa, kenapa dengan mama?” Iyelah, bukannya apa. Faiz tak sampai hatilah tengok papa macam tu. Dahlah semua kerja rumah pun papa yang buat. Daripada sediakan makan minum, kemas rumah, layan mama, layan Faiz, semua papa buat sendiri. Kadang-kadang bila atuk dan nenek datang Faiz dengar diorang suruh papa ambil orang gaji. Tapi papa kata tak nak. Kenapa entah.

Tapi kan mama, lepas je Faiz tanya soalan tu, papa terus peluk Faiz. Aik, kenapa dengan papa? Pelik lagi sekali. Papa pun cakap, “Faiz kecil lagi, mungkin Faiz tak faham. Tapi Faiz kena tahu yang mama dah berkorban segala-galanya untuk kita. Untuk papa, untuk Faiz. Sampailah mama jadi macam ni. Jadi, kita kena balas apa yang mama dah buat untuk kita.” Papa menangis waktu tu mama. Masa tu Faiz pandang muka mama. Papa pun. Tiba-tiba mata mama terbuka, kecil…lepastu besar. Faiz nampak, papa pun namapak. Mesin kat sebelah katil mama tu pun berbunyi. Papa gelabah. Faiz lagilah takut. Apa dah jadi ni?

Masa tu, yang Faiz ingat Uncle Remy kata, “Mama Faiz dah baik sikit”. “Baik sikit je, uncle? Bila mama nak baik banyak?” Uncle Remy senyum. “Kalau Faiz nak mama baik banyak, Faiz kena selalu sayang mama, bersembang dengan dia, buat dia gembira, peluk dia macam ni”. Uncle Remy terus je peluk Faiz.

Semenjak hari tu, Faiz tak pernah lupa nak buat apa yang Uncle Remy suruh tu. Papa pun buat benda yang sama juga. Kami tak pernah jemu mama. Asalkan mama boleh sembuh seperti sedia kala. Faiz nak mama jadi macam mama orang lain. Macam mama Misha, mama Danny. Mama diorang boleh berjalan, boleh bercakap, makan pun tak payah suruh orang lain suapkan. Bukan Faiz dah tak nak buat semua tu. Tapi….kesian dekat papa lah mama.

Tapi kan mama, bila Faiz cakap macam tu dekat papa, papa marah Faiz. Papa kata, “Bukan kehendak mama, mama jadi macam tu. Bukan salah mama, mama jadi macam tu. Papa yang salah dulu, Faiz. Papa yang tak jaga mama betul-betul.” Lepas tu papa nangis. “Papa kena tebus semuanya, Faiz. Semua kesilapan papa dulu. Papa sanggup korbankan apa je demi mama.” “Papa, bukan papa sorang. Tapi kita.”

Semenjak hari tu, Faiz tak pernah persoalkan semua tu. Faiz redha. Ye mama, usia Faiz memang kecil masa tu. Tapi papa, keadaan mama dan keluarga kita dah jadikan Faiz ‘besar’. Papa ajar Faiz berdikari. Papa tak cakap, tapi Faiz belajar bila tengok keadaan papa. Papa tak nak sesiapa pun bantu dia, mama. Baik nenek, atuk atau sesiapa. Papa tak mahu. Bagi papa, dunia dan hal ehwal dalam rumah ni hanya ada papa, mama dan Faiz.

Mama ingat tak, masa Faiz nak masuk darjah satu dulu? Faiz dah tayang semua baju baru, kasut baru, beg baru dan segala-gala yang baru tu depan mama. Walaupun mama tak tunjuk sebarang respon, tapi Faiz harap mama pun excited macam Faiz. Macam papa. Masa tu, Faiz ingat lagi papa pesan macam-macam. Risau je muka papa masa tu. Papa ni macam tak yakin je dengan hero mama ni. Walaupun baru 7 tahun, papa jangan risau, “Papa boleh harapkan Faiz. Jangan risau ok!” Faiz terus masuk kelas.

Mama ingat tak? Lepas je Faiz dah bersekolah, setiap hari Faiz akan cerita pasal apa yang berlaku kat sekolah dengan mama. Kerja sekolah pun Faiz akan buat depan mama. Seronoklah sekolah mama. Papa pun dah nampak tak risau sangat. Alhamdulillah, rezeki kita makin murah mama. Business papa pun makin ok. Walaupun papa sekarang hanya bergerak dari rumah, tapi papa kata Alhamdulillah semuanya ok. Iyelah, arkitek hebat macam papa mestilah boleh handle semua tu kan mama.

Mama, kalau mama ingat la kan. Tahun lepas, Faiz demam. Uncle Remy kata, Faiz kena chicken pox. Faiz tak larat sangat mama. Papa suruh Faiz rehat je dekat bilik. Tapi Faiz tak tahan. Faiz rindu mama. Tapi bila Faiz nak dekat je dengan mama, papa marah, papa tak bagi. Papa kata nanti berjangkit dengan mama. Papa ni pun tak tahu ke orang rindu dekat mama. Uncle Remy pun kata, “Faiz kena sabar sikit, Faiz kena banyak rehat supaya sakit Faiz boleh sembuh. Nanti kalau dah ok, Faiz boleh duduk dengan mama balik. Kalau Faiz tak rehat macam ni, nanti Faiz lambat baik. Kalau lambat baik, lamalah lagi, Faiz boleh duduk dengan mama.”

Semenjak tu, Faiz tak duduk lagi dekat mama. Tapi betul mama, Faiz memang tak boleh tahan. Faiz rindu nak bercakap dengan mama. Faiz nak cakap dengan mama, Faiz sakit. Sakit kepala, sakit badan, semuanyalah. Faiz pun nak cakap, ubat yang papa bagi tu tak sedap. Pahit. Tapi, Faiz tak boleh. Akhirnya, Faiz hanya berdiri dari pintu bilik mama. Tiap-tiap hari Faiz berdiri dekat situ. Penat berdiri Faiz duduk. Penat menunggu, Faiz tertidur. Faiz tak kisah mama. Asalkan mama dengar apa yang Faiz nak kata. Asalkan Faiz boleh tengok mama.

Tiba-tiba suatu hari, bila Faiz bangun, Faiz tengok Faiz dah tidur dekat sofa dalam bilik mama. Masa tu ada papa dan Uncle Remy. Papa senyum dekat Faiz. “Tengok mama.” Aik! Faiz terkejut. Mama dah boleh duduk. Faiz terus lari dekat mama. Faiz nak peluk mama tapi Faiz terberhenti. “Boleh tak Faiz peluk mama, papa?” Papa pandang Uncle Remy. Bila Uncle Remy senyum, papa angguk. Seronoknya Faiz dapat peluk mama. Dah dekat dua minggu Faiz dalam tahanan. Nak dekat dengan mama pun tak boleh.

“Happy Birthday, Mama.” Faiz kucup dahi mama. Semalam semua orang dah wish birthday dekat Faiz. Mungkin diorang lupa yang hari ni birthday mama. Diorang tak ingat yang tarikh kelahiran kita cuma beza sehari atau boleh juga di katakana beza beberapa jam je. Terima kasih mama. Faiz tahu mama dah bersusah payah menyabung nyawa semasa mengandungkan Faiz. Apatah lagi semasa melahirkan Faiz. Semuanya papa dah ceritakan. Sekarang Faiz dah besar. Faiz dah 12 tahun. Tapi mama masih begini. Duduk di kerusi roda. Memandang ke satu arah. Senyum tidak. Menangis tidak. Tapi Faiz dan papa bersyukur yang mama masih boleh bernafas. Itu sudah cukup membahagiakan.

Mama, sempena birthday mama yang ke-35 ni, Faiz nak bagi mama hadiah yang terbesar dalam hidup Faiz. Nah. Ini keputusan UPSR Faiz. Faiz baru dapat pagi tadi. Alhamdulillah mama, Faiz dapat 5A. Papa kata, papa nak bagi hadiah kat Faiz. Papa kata, “Faiz cakap Faiz nak apa, papa akan tunaikan.” Baikkan papa. Tapi, Faiz cuma cakap, “Papa, Faiz cuma nak tidur dengan mama malam ni. Boleh kan?”

Papa senyum dan terus peluk Faiz. Mama, seronoknya. Masa kecil, Faiz cuma dapat tidur dengan papa. Papa dodoikan, papa selimutkan. Tapi malam ni, Faiz nak tidur dengan mama. Tak apa. Faiz tak minta mama selimutkan atau dodoikan Faiz, mama tak payah buat semua tu. Faiz yang akan buat semua tu untuk mama.

Mama, selamat malam. I love you.

Ingin Ku Petik Cintamu 5

“Assalamualaikum.” Kali kedua abang hulurkan salam buat Ain. Kali ni Ain tak jawab dalam hati lagi. Ain lafazkannya di bibir. Malam itulah sejarah buat Ain. Ain serahkan mahkota yang Ain simpan dan jaga selama ni buat abang. Suami yang sudah mula Ain cintai. Mungkinkah ini juga sejarah bagi abang? Ain tak tahu. Sebab kita memang tak pernah berbicara hati ke hati.

Abang menjadi imam subuh seperti biasa. Jatuh air mata Ain bila mendengar bait-bait doa yang keluar dari mulut abang. “Ya Allah, berilah kebahagian kepada kami dunia dan akhirat, kurniakanlah kami zuriat yang soleh dan solehah….”. Ain menangis bang. Ain rasa menyesal. Seribu penyesalan. Iyelah, Ain menyesal kenapalah Ain tak boleh hargai abang daripada dulu, sedangkan abang bukanlah lelaki yang jahat. Abang lelaki baik, lelaki pilihan abah yang kini telah menjadi suami yang sah untuk Ain. teruknya Ain dulu kerana mencintai lelaki lain walaupun sudah diijabkabulkan dengan abang.

“Ain minta ampun, bang.” Hanya itu perkataan yang keluar daripada mulut Ain bila tangan abang hulurkan di hadapan Ain. Air mata Ain makin mengalir bila abang kucup dan peluk Ain. “Yang dah lepas tu biarkanlah lepas, berdoalah demi kebahagian kita untuk hari esok.” Ringkas je jawapan abang. Sedangkan Ain masih tersesak dalam pelukan abang.

Alhamdulillah, bang. Hari demi hari kebahagiaan yang kita sulam kian menjadi. Ruang tamu rumah kita sekarang ni bukan lagi tempat televisyen berborak ceria, meja makan pun bukan lagi tempat sudu dan garfu bergurau senda. Tapi itu semua dah jadi tempat Ain, tempat abang, tempat kita. Dari dapur, sampai ke bilik. Dari bawah sampai ke atas. Dari dalam sampai ke luar. Semua tempat kita. Kalau boleh tiada satu tempat pun dekat rumah kita yang Ain nak biarkan tanpa kehadiran kita berdua. Bukan hanya abang, bukan hanya Ain, tapi kita bersama bang. Ain bahagia. Rasa sungguh tak mahu kehilangan abang.

Abang ingat tak? Suatu hari emak dan abah Ain datang dari kampung. Seronok benar mak dan abah tengok kita. Tengok mak dan abah macam tu, Ain rasa bersyukur sangat. Dapat juga Ain bahagiakan mereka. Masa mereka nak balik, abah peluk Ain. Lama. Lama sangat. Ain bisik dekat telinga abah, “Terima kasih, abah”. Abah pun bisik juga “Abah tahu Ain boleh jadi anak dan isteri yang solehah”. Mengalir lagi air mata Ain. Terharu. Dari ekor mata Ain, Ain nampak abang skodeng Ain. Dalam hati Ain kata, “Sibuk je nak intai orang nangis”.

Bila kereta emak dan abah berlalu daripada perkarangan rumah kita, abang terus je peluk Ain. Isk, abang ni suka buat serang hendap. Rupanya abang pun nak main bisik-bisik dengan Ain. Abang bisik, “Sekarang Ain dah ada abang, Ain dah tak perlu menangis lagi sebab abang akan selalu jaga dan sayang Ain sampai bila-bila.” Abang ni….lagilah Ain nangis dengar ayat macam tu. “I love you, sayang”. Ain pejam mata. Terasa ayat yang abang sebut tu menyerap ke dalam jantung, hati, paru-paru, usus…semualah…. Sampailah menjadi sebati. Tahu-tahu je satu kucupan abang hinggap di dahi Ain. “Terima kasih, bang. Ain….Ain….” Alamak tak boleh keluar pulak ayat tu…..

“Ain nak cakap apa?” Soal abang. “Tak ada apalah bang”. Sure muka Ain merah masa tu kan? Ain terus je melangkah. Budget nak selamatkan diri. Tapi rupanya tangan abang lagi cekap. Sekejap je abang tarik tangan Ain. Abang pegang bahu Ain. “Cakaplah…”. Susah tau bang. Lama Ain kumpul kekuatan. Akhirnya dengan penuh susah dan payah, Ain luahkan juga “Ain…Ain sayang abang”. Ain nampak abang senyum. Lebar…Ain malu…malu sangat bang. So, Ain dah bersedia nak lari naik atas, tapi abang ni…suka main tarik-tarik la masa tu. Abang tarik dan peluk Ain lagi. Masa tu, Ain bersyukur. Ain bayangkan mesti kebahagiaan akan jadi milik kita nanti.

Tuhan tak berhenti lagi menguji kita bang. Ikmal. Ikmal hadir lagi dalam kehidupan Ain, kehidupan kita berdua. Ain tak tahu kenapa susah sangat untuk dia lupakan Ain. Adakah dia tidak berusaha seperti Ain? Atau dia tidak mendapat bahagia seperti yang Ain rasa sekarang lantas dia kembali mencari Ain. Ain sendiri tak pasti abang. Panggilan telefon darinya seringkali Ain terima. Ain tak mahu abang tahu. Bukan niat Ain ingin berahsia, tapi kalu boleh biarlah Ain selesaikan masalah yang baru melanda ni seorang diri. Ain tak mahu menyusahkan abang lagi. Ain tak mahu buat abang susah hati setelah selama ini abang bersusah-payah menyulam bahagia untuk rumah tangga kita.

Setiap hari bang, setiap hari Ain memujuk ikmal supaya tidak menelefon Ain lagi. Acapkali itu juga Ain ingatkan dia supaya redha bahawa Ain kini sudah menjadi isteri abang. Dan setiap kali itu juga Ain tekankan betapa Ain hanya menyintai dan menyayangi seorang lelaki selain abah yang bernama Amin. Tapi entah kenapa, susah sangat untuk ikal memahaminya. Akhirnya, Ain nekad untuk bertentang mata dengan Ikmal. Ain perlu menyelesaikan masalah ni segera. Apatah lagi bila abang dah mula bertanya-tanya kenapa itu dan ini. Ain tak mahu kisah ini jadi melarat. Jadi Ain bernekad untuk menoktahkannya pada tengahari itu. Ya, pada hari Ain disahkan mengandung. Mengandung anak abang, anak kita bang.

Seperti dalam telefon, seperti juga kebiasaannya, Ikmal memang payah untuk melepaskan Ain bang. Tapi Ain nekad, Ain perlu menoktahkannya. Akhirnya dihujung pertemuan yang Ain rasakan panjang tu, Ain merayu pada Ikmal supaya membiarkan kebahagian yang kita kecapi kini terus bersama kita. Ain harap Ikmal mampu melakukannya kerana Ain tak mahu mengecewakan lagi suami yang Ain sayang, suami yang Ain cinta. Siapa lagi kalau bukan abang seorang. Akhirnya malam tu, Ikmal telefon Ain untuk menyatakan bahawa dia redha dengan perpisahan kami. Dia redha dengan takdir Illahi. Mungkin jodoh itu bukan milik Ain dan Ikmal tapi milik Ain dan abang, katanya.

Ain bangun pagi tu dengan ceria sekali bang. Ain tak sabar nak siapkan sarapan abang, nak makan dengan abang. Dan yang paling Ain tak sabar ialah nak beritahu abang berita yang sangat penting. Tentang orang ‘ketiga’ yang akan masuk dalam kehidupan kita. Ain betul-betul excited. Tapi, kenapa semuanya hanya sementara. Ayat yang abang lemparkan buat Ain masa tu betul-betul seperti pisau yang menikam dada bang. “Macamlah aku tak tahu kau ada hubungan dengan Ikmal. Tiap-tiap malam bergayut di telefon, jumpa siap pegang-pegang tangan. Entah-entah itu anak Ikmal. Bila dia tak nak bertanggungjawab pandai pula kau cakap itu benih aku.” Sinis sekali. Abang langsung tak pandang muka Ain. Terjelepuk Ain di atas lantai. Sampai hati abang. Ain berusaha untuk yakinkan abang, tapi abang langsung tak layan Ain. Lain yang Ain harapkan, lain pula yang terjadi.

Mulai hari tu, hari-hari Ain ditemani air mata bang. Abang tahu tak, Ain pening, Ain loya dan kadang-kadang Ain tak larat nak bangun pun. Bila Ain minta tolong abang hantar Ain ke klinik abang kata, “Itu bukan anak aku pun, suruhlah bapak budak tu yang hantar kau.” Ya Allah. Setiap hari Ain berdoa semoga Ain diberi kemudahan, supaya Allah bukakan mata hati abang untuk melihat kebenaran. Hati Ain dah tak tahan lagi bang. Tapi akhirnya Ain ambil keputusan. Ain nekad. Ain kena teruskan kehidupan dengan sisa-sisa semangat yang masih ada. Ain kena kuatkan hati, tabahkah diri. Semuanya demi bayi ni, bayi Ain, bayi kita bang. Ain nak bayi ni lahir dengan sihat dan selamat. Bila dia lahir mungkin abang akan sedar nanti.

Ain mulakan lagi hari Ain dengan semangat baru. Semuanya demi nyawa yang sedang hidup dalam perut Ain ni bang. Kadang-kadang Ain demam, tapi Ain gagahkan juga naik bas ke tempat kerja. Ain simpan duit bulan-bulan. Ain tahu Ain akan perlukannya bila nak melahirkan nanti. Ain tak nak bayi ni lahir dalam keadaan serba kekurangan. Ain mahu dia lahir selesa. Biarlah abang tak pedulikan kami pun. Tapi Ain tak mahu apa-apa terjadi pada bayi ni. Biarlah Ain berkorban. Abang pun makin jarang ada di rumah. Kalau ada pun balik lewat. Kita pun dah jarang bercakap. Abang hanya bercakap kalau abang nakkan sesuatu. Ain sedar bang, sebagai isteri Ain masih tunaikan kewajipan Ain pada abang. Ain masih sediakan kelengkapan abang walaupun Ain sedang sarat. Tak sedikit pun abang simpati pada Ain. Tapi Ain kuatkan hati. Ain butakan mata. Ain pekakkan telinga.

Kadang-kadang kan bang, Ain rasa sayu sangat bila tengok ibu-ibu mengandung ke klinik dengan suami masing-masing. Ain tak pernah rasa macam tu. Ain tertanya-tanya sendiri entah bila Ain akan dapat rasa macam diorang. Kadang-kadang ada juga yang bertanyakan abang, Ain hanya jawab abang out station. Itu jelah jawapan Ain. Ain dah tak ada modal lain. Dalam hati ni, macam nak menangis je bang. Kenapalah abang seksa jiwa Ain macam ni. Kenapa bang? Kenapalah abang tutup mata hati abang? ya Allah…..ain hanya mampu merintih bang.

Akhirnya, sudah masuk bulan kesembilan Ain mengandungkan bayi kita bang. Setiap hati dalam sembilan tu tak pernah sehari pun Ain lupa untuk berpesan kepada anak kita. “Papa sayang kita tau sebenarnya. Papa buat macam tu pada kita sebab papa nak kita belajar berdikari. Nanti kalau sayang mama dah besar, sayang mama pun kena belajar hidup berdikari tau, jangan susahkan orang lain. Kita kena selalu bahagiakan orang di sekeliling kita. Sayang mama kena jaga papa, sayang papa, doakan papa, tau.” Itu pesan Ain.

Abang, Ain nampak memo yang abang tinggalkan untuk Ain tu. Ringkas dan tegas. Bukan pertama kali pun dah beberapa kali juga abang hanya tinggalkan nota macam tu kalau nak out station. Tak apalah, lagipun hari tu Ain dah mula ambil cuti. Sengaja Ain ambil cuti awal. Iyalah, Ain bukan macam orang lain. Ain sedar Ain kena buat persediaan sendiri. Tak ada siapa yang akan tolong. Dan entah kenapa sehari-dua ni Ain rasa lemah semcam je. Berjalan dua tiga langkah, Ain berhenti. Kaki Ain dah nampak macam bengkak je. Ain banyak duduk je. Bukan Ain malas, tapi Ain tak larat. Ain pun tak tahu kenapa, asal Ain dapat duduk je depan tv mesti Ain akan terlena. Ain rasa letih. Itu je.

Dan petang tu, Ain tertidur lagi. Ain hanya terjaga bila dengar jeritan abang. Dengan mata yang ala-ala mamai lagi masa tu Ain menjengah abang di ruang tamu dari atas. Kecut hati Ain bila abang tengking-tengking Ain masa tu. Abang suruh Ain kemas rumah. Dengan gaya marah abang campak talli leher abang atas lantai. Alah, sebab tu pun sampai nak menengking ke? Soal Ain sendiri dalam hati waktu tu. Abang terus naik atas dan berselisih dengan Ain waktu Ain perlahan-lahan turun dari tangga. Payah kaki ni nak melangkah, tapi Ain tetap gagahinya juga. Abang pandang abang, dengan harapan abang pun akan pandang Ain. Tapi semuanya hampa belaka. Sikit pun abang tak pandang. Ain kecewa sangat bang masa tu.

Perlahan-lahan Ain kemas bantal-bantal kecil di atas sofa. Sebenarnya tak lah bersepah mana pun ruang tamu tu. Cuma adalah satu dua barang yang tak tersusun rapi. Ain teruskan mengemas. Bila Ain tak larat, Ain duduk sekejap kemudian Ain bangun lagi mengemas. Hujan pula turun waktu tu. Baru Ain teringat tingkap di bilik atas tak bertutup. Kalau Ain tak tutup sekarang, alamatnya habis banjirlah satu bilik tu nanti.

Ain melangkah menghampiri tangga. Perlahan-lahan Ain berjalan. Berhati-hati. Bunyi petir yang tiba-tiba berdentum mengejutkan Ain dan membuatkan Ain menoleh ke pintu. Pada saat itu, sedang kaki Ain masih melangkah, Ain dapat rasa Ain terpijak sesuatu. Tali leher abang. Ain tergelincir. Tersembam Ain di atas anak tangga. Ain cuba bangun, tapi….. payah. “Abang! Abang!” Tiada jawapan. Dengan kekuatan yang masih bersisa sedikit tu, Ain capai telefon yang kebetulah tempatnya di tepi tangga. Nombor telefon ambulans Ain dail. Mujur akal Ain masih dapat berfungsi. Ain dah tak berdaya. Nak menjerit memanggil abang pun Ain dah tak ada daya. Cuma yang Ain daya, Ain tinggalkan sekepin nota untuk abang. Ain tak mahu bila abang turun nanti abang tertanya-tanya ke mana Ain. Ain mungkin tak sempat nak minta izin untuk ke hospital dari abang nanti.

Ambulans datang. Cepat den tepat pada waktunya. Tapi malang mereka tak dapat masuk kerana pintu yang berkunci. Ain dengan mereka ketuk pintu. Tapi Ain dah tak larat nak bangun. Darah dah mula mengalir dari celah kangkang Ain ni. Banyak bang. Hampir nak pitam Ain tengok darah yang banyak macam tu. Pintu masih diketuk. Ain terpaksa bang masa tu, Ain terpaksa mengesot perlahan-lahan ke pintu depan. Bila Ain toleh belakang, darah banyak betul atas lantai. Ain sempat terfikir mesti abang marah kalau abang nampak. Ain semakin tak larat masa tu, lepas je Ain berjaya buka tombol pintu tu, Ain terus terbaring dan Ain dah tak sedar apa-apa masa tu.

Ain bermimpi. Mimpi yang tak pernah Ain alami. Dalam mimpi tu, Ain nampak abang. Abang menangis tak henti-henti. Ain teringin nak dekati abang, nak tenangkan abang. Tapi langkah Ain seakan-akan berkunci. Ain tak boleh berjalan. Abang terus menangis. Tiba-tiba Ikmal datang. Ikmal bawa anak kita. Abang sambut anak tu. Abang cium, abang pangku. Alhamdulillah. Ain senyum. Gembira. Gembira sangat bang. Akhirnya abang pintu hati abang terbuka untuk kami. Tak sia-sia Ain berjuang. Tak sia-sia bang. Biarlah Ain terpaksa menjadi korban dalam perjuangan ini. Biarlah. Asalkan akhirnya kebenaran yang ingin Ain tegakkan terlihat di depan mata abang. Ain isteri abang yang tak pernah curang bang. Ain hanya cinta abang seorang.

Abang, terimalah buah cinta kita yang Ain tatang, yang Ain belai sembilan bulan lamanya. Ain tak pasti adakah Ain akan berpeluang menatang dan membelainya lagi lantaran seluruh kudrat dan kekuatan Ain telah Ain kerahkankah demi menyambung nyawanya. Kini Ain dah tak ada kudrat lagi. Tapi abang jangan risau, semangat kental dan kecekalan hati telah Ain tiupkan padanya setiap hari. Didiklah dia. Ajarkan dia tentang hidup, tentang kasih-sayang, tentang kita…….

Hak cipta terpelihara:
Siti Aishah Abdullah Sani a.k.a ainul_anique

Ingin Ku Petik Cintamu 4

“Assalamualaikum.” Ain masih ingat salam abang yang pertama buat Ain. Salam abang tu Ain jawab dalam hati je. Iyelah, walau keras mana hati Ain, Ain masih ingat menjawab salam hukumnya wajib. Dalam kesamaran malam abang melabuhkan punggung di atas katil ‘kita’. Sungguh abang. Ain gerun masa tu. Belum pernah Ain duduk berdua sebilik dengan lelaki sebelum ini. Inilah kali pertama. Tudung kepala masih lagi kekal menutupi seluruh kepala Ain. Ain gugup. Terasa sejuk tiba-tiba.

Rasa sejuk itu menjadi ngilu. Bertambah ngilu apabila abang menyentuh hujung tudung Ain. “Jangan”. Itu sahaja yang mampu keluar dari mulut Ain. Ain bangun dan membuka tudung tu sendiri. Ain nampak abang. Abang senyum je. Ain ambil bantal dan letak jauh di hujung sudut katil. Ain tepuk bantal tu dan terus merebahkan badan. Ain membelakangi abang. Ain tahu ianya salah tapi Ain benar-benar tak boleh. Ain dengar keluhankecil keluar dari mulut abang. Tapi Ain tetap buat tak heran. Ain keraskan badan, tak mahu memandang abang. Maaf bang, Ain benar-benar minta maaf. Abang terhukum atas pada kasalahan yang bukan silap abang. Silap siapa? Ain pun tak pasti.

Pagi tu, abang bangun lebih awal daripada Ain. Abang yang kejutkan Ain. Abang ajak Ain berjemaah dengan emak dan abah. Macam anak lembu, Ain ikut je cakap abang. Iyelah, mamai baru bangun tidur. Ain solat dibelakang abang dan abah. Ain akui merdunya suara abang mengalunkan ayat-ayat suci semasa mengimami kami. Selesai solat, abang menghulurkan tangan pada Ain. Ain tak pasti nak sambut ke tidak salam tu, tapi cuitan emak bagaikan kejutan elektrik dan Ain terus mencium tangan abang.

Begitulah hari-hari seterusnya abang. Ain terus solat di belakang abang walaupun setelah kita berpindah ke Kuala Lumpur. Ke rumah abang atau boleh Ain sebut sebagai rumah ‘kita’. Kita hidup sebumbung, makan semeja, tidur sebilik malah sekatil tapi boleh dikira komunikasi kita dalam sehari. Ain nampak usaha abang untuk berbual-bual dengan Ain. Tapi sungguh. Sungguh Ain tidak tertarik dengan itu semua. Ain masih teringat Ikmal. Buah hati Ain yang Ain terpaksa tinggalkan demi memuaskan hati emak dan abah untuk berkahwin dengan abang.

Akhirnya, Ain mendapat tawaran kerja sebagai pegawai pemasan di sebuah syarikat. Gembiranya Ain. Tak adalah Ain menganggur lagi lepas ni. Masa tu kan abang, Ain tak tahu nak bagi tahu abang macam mana. Ain bukan pernah minta apa-apa, mengadu apa-apa wal hal cerita apa-apa pun tak pernah. Abang je yang selalu buat semua tu pada Ain. Ain tahu abang nak ambil hati Ain. Akhirnya Ain buat keputusan untuk letak surat tawaran tu dekat tepi telefon. Harap-harap abang nampak.

Nampaknya rancangan Ain menepati sasaran. Abang tanya, “Bila kena mula kerja?”. Soalan abang tu rupanya berangkai-rangkai. Banyak pula abang tanya Ain. Ain pun tanya-tanya abang juga. Yelah Ain ni bukan pernah ada pengalaman kerja, walaupun excited dengan kerja ni, tapi Ain tetap rasa cuak juga.

Esoknya abang hantar Ain pergi kerja. Kebetulan tempat kerja kita tak jauh jaraknya. Sebelum keluar kereta, abang pesan, “Jaga diri baik-baik. Kalau ada apa-apa masalah, telefon abang.” Rasa macam adik kecil pula masa tu. Ain angguk je dengar apa yang abang pesan.

Ain seronok. Seronok sangat dapat bekerja. Walaupun penat tapi Ain puas. Tak adalah Ain duduk di rumah je tunggu abang balik. Kalau Ikmal mungkin berbeza. Mungkin Ain akan sabar je menunggu dia balik. Tapi orang yang Ain tunggu tu Amin. Bukan Ikmal. Langsung tak bersemangat. Kadang-kadang Ain sengaja masak tak sedap, tertawar lah, termasinlah, tapi abang tetap makan dengan berseleranya. Ain terfikir, entah-entah deria rasa kat lidah abang ni dah rosak kot.

Sekarang bila Ain dah kerja, Ain tengok abang pun berubah sama. Abang selalu tolong Ain dekat dapur, tolong Ain kemas rumah, lipat kain, siram bunga. Satu hari Ain tanya, “Kenapa abang nak tolong Ain buat semua ni, ni semua kerja Ain.” Abang kata, “Kesian dekat Ain penat sorang-sorang. Biar kita penat sama-sama.” Kadang-kadang Ain terharu tengok abang buat semua tu. Tapi saja Ain tak nak tunjuk. Ain jadi bersyukur kerana Ain bekerja sekarang. Tak adalah Ain jadi macam dulu asyik menangis bila teringatkan Ikmal. Ikmal pun dah lama tak menghubungi Ain. Dah dekat 2 bulan. Mungkin Mal dah jumpa dengan jalan untuk kehidupannya yang baru. Semoga Mal bahagia. Kini Ain belajar perlahan-lahan untuk menjadi seorang yang redha…. Mungkin inilah antara simpang yang Allah tunjukkan untuk kita, Mal.

Ada satu hari tu, hujan turun lebat sangat. Ain tunggu abang dekat depan office. Tapi abang tak sampai-sampai. Ain call abang, tapi abang tak angkat. Semua officemate Ain dah balik. Hari pun dah nak dekat maghrib. Ain pun naik je bas. Tak sangka pula bas tu berhenti jauh daripada rumah kita. Ain pun berlari meredah hujan yang lebat tu. Bila Ain balik Ain tengok ada kereta abang dengan parking rumah kita. Hish, geramnya Ain. Sampai betul hati abang biar Ain balik naik bas dengan hujan yang lebat macam ni. Habis Ain kutuk-kutuk abang dalam hati. Bila Ain masuk rumah, Ain tengok abang tengah tidur. Lagilah Ain bengang.

Saja je Ain hempas beg kuat-kuat atas meja dekat tempat abang baring. Tapi abang langsung tak terkutik. Pelik juga Ain. Ain duduk dekat dengan abang. Terasa ada bahang. Ain beranikan diri Ain letak tangan Ain yang sejuk tu atas kepala abang. First time ni tau. Panasnya….. abang demam ni. Cepat-cepat Ain buka tali leher yang masih belum abang buka. Ain pun ambil tuala basah dan tuam kepala abang. Ain nampak abang bergerak-gerak sikit. Tapi abang tak buka mata pun. Ain risau bang. Rasa bersalah pulak mengutuk-ngutuk abang tadi. Ain terus tuam kepala abang.

Kepala Ain ni pun tak bagi kerjasama langsung. Sakit. Berdenyut-denyut. Akhirnya dek kerana kepala yang berdenyut-denyut dan penat yang terlampau Ain tak sedar Ain tertidur dengan baju basah yang tak bertukar tu.

Esoknya bila Ain sedar, Ain dah dekat bilik atas. Bilik kita. Atas katil. Siapa yang angkat Ain kalau bukan abang. Ain jadi malu sendiri. Kepala Ain masih lagi sakit. Ain raba atas kepala ada tuala basah. Ain demam la…. Tiba-tiba, “Oops….” Ain terkejut bila tengok baju Ain yang dah bertukar? Abang ke yang tukar?? Ya Allah malunya…… Ain tengok je abang masuk bilik kita. Mesti muka Ain dah merah masa tu.

“Kenapa Ain tidur dengan baju basah semalam? Kan dah demam”. Abang cakap dengan Ain sambil meniup-niup bubur nasi. Ain diam je, dalam hati cakap ‘Dia yang tak ambil orang balik kerja semalam. Orang penat tau…’… tapi ayat lain pulak yang keluar daaripada mulut Ain, “Demam abang dah baik ke?”. Abang pandang Ain. “Hurm”. Hurm je yang abang jawab, ni yang Ain tak puas hati ni. Ain pegang dahi abang. Mak oi….panasnya lagi..

“Abang okeylah. Abang kuat, bukan macam Ain. Ni demam sikit je”. Eleh. Kuat konon. Tak sedar semalam dia terlantar macam apa je kat sofa tu. Kuatlah sangat tu. Ain kutuk abang lagi. Abang suapkan Ain bubur. Baiknya abang. tapi kesian sebenarnya dekat abang. Abangkan demam, kenapalah abang tak pergi berehat je waktu tu, Ain ni boleh makan sendiri lah. Abang pula boleh buat ‘dek’ je. Abang dengan rela hatinya picit kepala Ain. Terharu tau Ain bang. Sampai macam tu sekali abang layan Ain. Kenapalah Ain tak boleh nak hargai abang? Air mata Ain menitis. Dan jari-jemari abang yang kasar tu segera menyekanya. Terima kasih bang. Itu je yang boleh Ain cakap…itu pun dalam hati je.

Bila Ain terjaga dari tidur, Ain tengok abang pun dan terlelap sama. Bila Ain bangun, abang pun bangun. Hari tu, kita berlawan bersin. Rasa kelakar pun ada. Akhirnya abang kata, “Kita sama-sama demam ni, so kenalah bergilir. Ain jaga abang, abang jaga Ain.” Macam buat pertama kali Ain senyum untuk idea-idea abang. Abang pun senyum bahagia je Ain nampak. Dalam hati Ain, ‘Mungkinkah ini tanda untuk sinar hidup kita di hari-hari esok?’

Semenjak hari tu, Ain dapat rasa ada satu perasaan halus menyelinap dalam hati Ain. Bila pergi kerja, Ain tak sabar nak balik jumpa abang. Bila tidur Ain tak sabar nak tengok abang bangun esok paginya. Bila masak, Ain tak sabar nak makan semeja dengan abang. Semuanya jadi dalam diri Ain? Adakah ini yang dinamakan cinta? Betulke bang? Bagilah tahu Ain. tapi Ain tahu abang takkan beritahu Ain sebab abang pun entah tahu entah tidak dengan perasaan Ain ni. Walaupun Ain selalu nampak kesungguhan abang menarik perhatian Ain, tapi entah-entah abang dah bosan nak menunggu Ain. Manalah Ain tahu.

Suatu hari Kak Lisa datang melawat kita. Kak Lisa, kakak abang yang sulung. Dia datang bawa Alia. Alia anak Kak Lisa yang baru berusia setahun lebih asyik abang dukung ke sana ke mari. Seronok benar Ain tengok abang waktu tu. Abang cium dia, peluk dia, agah dia, macam…macam….anak abang sendiri. Ain sedar mungkin abang sangat teringin punya anak sendiri kan?

Sebenarnya kan abang, Ain pun teringin nak anak sendiri juga. Tapi Ain malu nak cakap dekat abang. Macam mana ye? Tiba-tiba Kak Lisa tanya, “Ain tak teringin nak anak sendiri?” Isk Kak Lisa ni, ada pulak tak teringin, mestilah Ain nak…. “Siapa yang tak teringin nak ada anak, kak. Kami belum ada rezeki lagi”. Abang back up Ain masa tu. Bila Ain pandang abang, abang bagi senyuman yang penuh makna sekali untuk Ain. “Ain rasa untuk yang sulung, Ain nak anak lelaki ke perempuan nanti? Kak lisa dulu teringin nak anak perempuan, hari-hari berdoa, akhirnya dapatlah si Alia ni.” Ain hanya boleh senyum je, “Kalau boleh lelaki, bolehlah dia jaga Ain nanti”. Alamak. Ain nampak abang pandang Ain tajam. Ain salah cakap ke? Alamak. Abang sengih-sengih je Ain tengok. Geram pulak Ain tengok abang masa tu.

Abang, kalaulah abang tahu…Ain dah mula cintakan abang. Kalau abang izinkan, Ain juga ingin memetik cinta di hati abang….

Ingin Ku Petik Cintamu 3

“Sepupu abah dari Kedah datang semalam meminang untuk Ain, abah dan emak dah pun setuju.” Berderau darah Ain masa dapat panggilan daripada abah hari tu. Masakan emak dan abah boleh terima je pinangan macam tu tanpa tanya Ain dulu. Dimanakah hak Ain? Atau Ain memang tiada hak dalam hal ni. Mungkin betul. Dulu ustaz pernah kata, ayah dan datuk adalah wali mujbir. Maksudnya mereka boleh mengahwinkan anak gadis mereka tanpa meminta persetujuan gadis tersebut asalkan dengan niat yang baik. Tapi inikah yang terbaik untuk Ain?

Ikmal, Ain minta maaf. Bukan niat Ain untuk menduakan cinta Mal. Tak sedikit pun pernah terlintas di hati Ain. Kita sama-sama menganyam angan-angan untuk bersatu dalam ikatan suami isteri. Tapi apakan daya semua ini bukan dalam perancangan kita… ini rancangan emak dan abah Ain. Dan mungkin juga perancangan Allah. Ain sendiri belum pasti apa yang harus Ain lakukan sekarang ni. Apakah Ain patut menderhakai keputusan emak dan abah demi menyelamatkan cinta kita ini?

Mungkin salah Ain. Ain yang tidak berterus-terang dengan emak dan abah tentang hubungan kita. Tapi Mal sendiri maklum kan tentang amaran abah, “Jangan bercinta waktu belajar”. Abah garang. Ain takut dengan setiap amaran daripada abah. Kalau abah kata abah akan buat, pasti abah akan benar-benar akan buat. Samalah dalam hal ni, Mal. Ain rasa Ain ingin lari dari semua ni. Lari selaju dan sejauh mungkin walaupun Ain tahu dengan ‘lari’ masalah ini tak akan selesai juga. Tapi selain daripada lari, Ain dah tak tahu macam mana lagi nak buat untuk menyelamatkan cinta kita ni.

Tapi, betapa mulianya hati Mal. Mal nasihatkan Ain. Mal ajar Ain tentang redha. Walaupun Ain dengar suara Mal menangis dari hujung talian sana. Dalam sedu-sedan tu, Mal masih rasional. Bukan macam Ain. Ain pun pelik kenapa Ain boleh berfikir sampai ke situ. Padahal selama ni Ain sedaya upaya menjaga perilaku seperti yang diamanahkan oleh emak dan abah. Ain sentiasa ingin menjadi anak yang terbaik untuk mereka, insan yang melahirkan dan mendidik Ain untuk menjadi yang terbaik.

Tapi macam mana dengan Mal? Adakah Mal benar-benar ikhlas melepaskan Ain? Mal yakin dengan keputusan yang Mal ambil ni? Ain belum yakin, Mal. Benar-benar tak yakin. Ain tak yakin yang Ain boleh hidup dengan insan yang Ain tak kenal, yang Ain tak cinta. Ain tak yakin, Mal. Ain perlu Mal. Ain cinta Mal seorang saja. Kalaulah Mal tahu betapa hati Ain menjerit, meronta-ronta untuk lepas dari sengsara ni. Dahsyat Mal. Lebih dahsyat daripada tangisan hebat yang Mal dengan dekat telefon tadi. Lebih dahsyat daripada rebut tsunami. Lebih dahsyat daripada gunung berapi yang memuntahkan lavanya. Dahsyat. Membuak-buak. Ain tak ada siapa untuk meluahkan apa yang Ain rasa. Kalaulah Mal ada di sisi…..

Mal tahu tak? Semua persiapan untuk majlis perkahwinan Ain ni emak dan Kak Long yang uruskan. Ain sikit pun tak ambil kisah. Emak membebel dan memarahi Ain tapi dalam hati Ain kata, ‘Siapa suruh nak kahwinkan sangat Ain dengan Amin anak Pak Lang Uteh tu? Ain nak kahwin dengan Ikmal!’. Tapi Ain tak berani nak cakap dengan mak. Pengecut kan Ain? Kak Long je yang tahu tentang cerita kita, Mal. Kak Long je yang faham sebab dulu pun dia alami benda yang sama. Bercinta dengan orang lain akhirnya berkahwin dengan orang lain. Tapi Kak Long yakinkan Ain yang Ain akan bahagia juga nanti akhirnya. Tapi Mal, Ain tetap tak yakin. Ain tak tahu Mal, Ain tak kenal dia, Ain tak cinta dia!! Ain cinta Mal.

Ain tak pernah tengok muka dia dan tak pernah teringin pun nak tengok muka dia. Banyak kali Kak Long datang bilik Ain nak tunjuk gambar Amin, tapi Ain tak teringin pun. Ain simpan je gambar dia dalam envelope tu dan sorok dalam laci. Memang Ain tak sudi Mal. Ain lebih rela menatap gambar-gambar Mal dalam laptop Ain. Hari-hari Ain tengok. Waktu pagi, waktu tengahari, waktu petang, waktu malam, sampai tertidur-tidur. Semua ni kerana Ain cintakan Mal seorang, tiada dua, tiada tiga.

Walaupun hari-hari Kak Long mengumpan Ain dengan cerita-cerita pasal Amin, tapi hati Ain ni sikit pun tak terusik. Ain lebih berminat nak ingat Mal. Ain cuma berminat nak baca semula sms dan email yang pernah Mal beri pada Ain dulu. Cuma yang Ain ingat Kak Long kata Amin juga tinggal di kolej yang sama masa kita di universiti dulu. Entah, manalah Ain nak perasan dan tak pernah rasa rugi pun tak perasan dia dulu.

Mal, Ain tak tahu kenapa Ain jadi macam ni. Ain rasa sendiri dengan perubahan sikap Ain. Ain tiba-tiba jadi tak kuat macam dulu. Bila teringat Mal, Ain menangis. Ain rasa bersalah sangat dengan Mal sebab akan kahwin dengan Amin walaupun semua tu bukan atas kerelaan hati Ain. Ain nak sangat Mal tahu yang Ain cintakan Mal dan Ain tak rela atas semua ni. Tapi mujur Ain selalu teringat pesan Mal. Mal suruh Ain redha. Berat Mal, memang berat untuk Ain lunaskannya.

Lusa hari pernikahan Ain dengan Amin. Semua persiapan dah tersusun indah dalam bilik Ain ni. Semua ni bukan Ain yang buat. Ain menangis lagi tengok baju, hantaran, tempat nikah…semuanya…. Ain sedih sangat Mal. Kalaulah pengantin lelaki tu nanti tiba-tiba bertukar jadi Mal, alangkah bertuahnya Ain. Mesti Ain akan rasa macam cerita fairy tale, tapi ini dunia realiti Mal. Ain tau semua tu mustahil. Amin tetap Amin, Mal tetap Mal dan Mal tetap di hati Ain.

Malam sebelum nikah, abah datang dekat Ain. Abah usap kepala Ain. Abah tinggalkan amanat, “Esok, Ain akan abah pertanggungjawabkan kepada Amin. Jadilah isteri yang solehah..” . Air mata abah jatuh. Pertama kali Ain tengok abah macam tu. Ain terharu tapi bila teringat dekat Mal, perasaan Ain jadi bercampur-baur. Amin tu baik ke tak orangnya? Kenapa abah menangis? Atau abah rasa bersalah sebab tersalah pilih calon suami untuk Ain? Atau mungkin abah benar-benar sedih ingin melepaskan tanggungjawabnya ke atas Ain? Serius, Ainlah orang yang paling tak pasti sekarang ni.

Selepas akad, itulah kali pertama Ain tengok muka Amin. Biasa je orangnya Mal, Mal jauh lebih kacak dari dia. Waktu dia hulurkan tangannya itulah kali bertama Ain menyentuh lelaki lain selain abah. Kenapa tangan tu bukan milik Mal? Kenapa? Ain minta maaf, Mal. Ain terpaksa. Ain terpaksa sentuh tangan lelaki lain selain daripada Mal. Sebab dia dah sah jadi suami Ain, Mal. Suami …walaupun bukan kerelaan Ain.

Di majlis persandingan Ain, Ain berharap sangat Mal datang. Ain nak sangat tengok muka Mal. Ain nak tengok muka orang yang selalu bagi Ain semangat. Sebab sesungguhnya Ain tengah sangat tak bersemangat. Kalau bukan kerana menjaga air muka keluarga, Ain tak tahulah apa yang Ain akan buat sekejap lagi. Ain tunggu. Ain tunggu Mal datang. Setiap orang yang masuk ke ruang pelamin ni Ain amati. Ain nak pastikan Mal ada atau tidak. Ain tunggu, Mal. Tapi…sampai petang bayang Mal langsung Ain tak nampak. Kenapa Mal tak datang? Ain menangis lagi Mal. Mungkinkah Mal telah redha dengan perpisahan ini? Atau Mal sendiri tak sanggup melihat Ain? Kenapa Mal? Ain menantikan jawapan.

Sekarang, Ain dan sah menjadi isteri kepada Amin, bukan isteri Mal seperti yang kita angan-angankan dulu. Mungkin Mal telah merelakan Ain memegang status ini kan? Tapi, Ain belum bersedia. Belum Mal. Ingatan Ain masih kuat untuk Mal. Sayang Ain masih utuh untuk Mal. Cinta Ain masih teguh untuk Mal. Tak mungkin Ain dapat menghapuskan semua tu dan menggantikannya untuk insan lain. Insan yang tak pernah Ain tahu dirinya, hatinya….

Mal, tolonglah Ain. Ain tak tahu macam mana nak mengharungi hidup di hari-hari mendatang dengan suami yang bukannya Mal. Bagaimana Mal? Ain tak pernah bersedia untuk ini. Tak pernah sekali pun. Adakah Ain tewas? Tiupkanlah Ain kekuatan Mal.

Benih cinta yang kita semai dulu, tak sempat kita petik, Mal.

Nukilan : Ainul Abdul

Ingin Ku Petik Cintamu 2

“Assalamualaikum. Saya Ikmal. Boleh kita berkenalan?” Ikmal masih ingat Ain. Itulah ayat pertama yang Mal tuturkan buat Ain. Salam perkenalan yang di sambut dengan senyuman Ain yang menawan hati Mal. Kerana senyuman itulah Ikmal terpesona lalu meggerakkan kaki ini melangkah mendekati Ain. Inilah kali pertama Mal buat macam ni. Semuanya demi seorang gadis yang benar-benar telah menceroboh hati Mal.

Ikmal bersyukur, bermula dengan salam perkenalan tu, kita akhirnya menjadi seorang kekasih. Semua orang tahu. Semua orang di kolej ni tahu bahawa memang Ainlah satu-satunya buah hati Mal. Tiada yang lain. Dengan kehadiran Ain di sisi Mal dunia terasa ceria setiap hari, matahari hari-hari tersenyum je buat Mal. Mal bahagia. Bahagia kerana dapat mendampingi orang seperti Ain.

Bagi Mal, Ain memang seorang gadis yang layak dihormati. Kadang-kadang memang Mal terasa segan juga sebab Mal rasa seolah-olah Mal tak layak untuk gadis sebaik Ain. Tapi Ain yakinkan Mal bahawa kebaikan dalam diri seseorang boleh dipupuk dan keburukan dalam diri juga boleh di hapuskan. Banyak peringatan yang Ain beri pada Mal. Kadang-kadang Mal bergurau dengan memanggil Ain ustazah. Ain hanya senyum. Dan senyuman tu selalu buat hati Mal cair.

Tiga tahun, Ain. Tiga tahun kita menyulam kasih. Alhamdulillah selepas tamat belajar, Mal terus dilamar oleh syarikat perbankan sedang Ain masih meneruskan pengajian di tahun akhir. Kita merancang Ain, selepas tamat sahaja Ain belajar, Mal akan terus meminang Ain. Duit gaji Mal pun telah Mal mula asingkan untuk belanja perkahwinan kita. Memang Mal tak sabar nak menanti saat bahagia kita nanti. Tanpa pengetahuan Ain, Mal pun dah beli sebuah rumah tau. Rumah yang akan menjadi tempat Mal, Ain dan anak-anak kita nanti untuk menyulam bahagia bersama. Tapi Mal taknak bagitahu Ain dulu. Nanti tak surprise pula.

Tapi Ain, suatu hari Mal pelik masa dapat penggilan telefon daripada Ain. Ain menangis. Bila Mal tanya kenapa? Ain menangis lagi. Kenapa sebenarnya yan berlaku. Hati Mal benar-benar tertanya-tanya. Bengang Mal, siapalah yang berani mengapa-apakan buah hati Mal ni sampi menangis macam ni? Bila Ain dah reda sikit, Ain pun mula bersuara dan Mal pun dengar je.

Mal terkejut Ain. Betul-betul terkejut dengan apa yang Ain cakap. “Keluarga Ain dan menerima pinangan Amin”. Itulah ayat pertama yang keluar dari mulut Ain lepas tangisan Ain reda. Ternganga Mal tau. Mal tau ini bukan gurauan. Ini pasti kenyataan. Tapi Mal betul tak faham kenapa benda berlaku ke atas kita. Ain menangis lagi. Mal pun menangis. Ain kata Ain nak lari. Ain tak sanggup berkahwin dengan orang yang Ain tak kenal dan Ain tak cinta. Dalam hati Mal masa tu memang Mal sokong je apa yang Ain nak buat tu.

Tapi bila Mal buka mulut, lain pulak yang Mal cakap. Mal suruh Ain bersabar, dan terima semua ni sebagai dugaan Allah. Mungkin inilah jalan yang terbaik yang telah Allah lorongkan untuk kita. Mal cakap dengan linangan airmata yang deras tau Ain. Memang Mal dah tak malu lagi nak menangis waktu tu. Lagipun Mal bukan ‘Superman’ yang tak boleh nangis. Mal manusia normal yang ada hati dan perasaan. Tak apalah, Mal pernah terbaca “Kalau kita sayangkan seseorang, bebaskan dia terbang….”. Mal bebaskan Ain. Semoga Ain bahagia bersama Amin.

Masa hari persandingan Ain hari tu, Mal tak dating. Sengaja Mal tak dating sebenarnya. Manalah Mal sanggup nak tengok orang yang Mal puja selama ni bersanding dengan lelaki lain. Memang Mal tak sanggup. Tapi Anuar bestfriend Mal masa di kolej dulu dating. Dia kata dia kenal Amin tu. Rupanya dia duduk satu kolej dengan kita jugalah Ain. Mesti Ain pun tak tahu kan? Tak banyak yang Anuar sampaikan sebab mungkin dia faham tentang apa yang hati Mal rasa sakarang ni.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan. Mal sentiasa berusaha keras melupakan Ain. Tapi Mal selalu gagal Ain. Kalau siang Mal akan sibukkan diri dengan kerja untuk lupakan Ain, tapi nanti malam mesti Mal akan termimpi-mimpikan Ain. Kadang-kadang setiap lepas solat, Mal berdoa dan merintih kepada Allah. Kenapa Dia menguji Mal yang tak sekuat mana ni dengan dugaan yang macam ni? Tapi Mal teringat pada pesan Mal sendiri pada Ain dulu…kita kena redha…Tapi adakah Mal sendiri redha???

Hati Mal makin parah bila Mal dapat kunci rumah yang Mal angan-angankan untuk kita tinggal bersama. Setiap langkah Mal menjelajahi rumah tu, Mal mesti terbayang muka Ain. Kenapa? Kenapa Mal masih tak dapat melupakan Ain? Kenapa? Tolonglah Mal, Ain. Mal memang masih dan terlalu menyintai Ain. Walaupun Ain sekarang isteri Amin, tapi Mal memang tak dapat lupakan Ain. Tolong Ain. Tolong beritahu Mal macamana caranya untuk Mal melupakan Ain, melupakan kenangan cinta kita, melupakan segalanya……Mal parah Ain.

Akhirnya setelah lima bulan Ain menjadi isteri Amin dan Mal masih begini, Ain. Mal nekad. Mal akan hubungi Ain. Biarlah apa yang akan jadi pun. Sebabnya Mal pun tahu yang Ain tak bahagia hidup dengan orang yang Ain tak cinta. Ain yang cakap dulu kan? “Ain tak mungkin bahagia hidup dengan orang yang Ain tak cinta”. Jangan bimbang Ain, sekarang Mal akan datang dan akan membawa kebahagiaan buat Ain.

Akhirnya Ain, selepas berjaya menembusi rangkaian telefon Ain hari tu, Mal cuba lagi..hari-hari Mal call. Mal tak kisah dah, janji Mal dapat luahkan apa yang Mal rasa sekarang ni. Mal rindu Ain. Rindu sangat. Kadang-kadang Mal dengar Ain menangis di hujung talian sana. Bila Mal tanya kenapa? Ain kata “Mal, binalah kekuatan baru untuk kehidupan yang baru”. Tapi Mal tak puas hati dengan ayat-ayat Ain tu. Mal ajak Ain jumpa dan hati Mal berbunga-bunga bila Ain setuju nak jumpa Mal.

Dalam pertemuan tu, Mal nampak Ain dah macam lain sikit. Ain nampak tembam tapi muka Ain tetap nampak berseri-seri. Tapi Ain macam tak banyak cakap dah sekarang. Kenapa Ain? Amin ke yang jadikan Ain sampai Ain jadi macam ni? Mesti Ain tak bahagia hidup bersama Amin.

Mal pandang mata Ain. Ain tunduk je. Ain kata Ain tak boleh lama. Kita bertanya khabar dan Mal pun memulakan bicara. Mal kata “Ain, Mal cintakan Ain. Mal tak boleh lupakan Ain. Tolonglah Ain. Kembalilah pada Mal.” Tiba-tiba Mal tengok Ain nangis. Mal rasa bersalah pulak. Ain geleng kepala tiba-tiba. “Kita tak boleh Mal”. Itu yang keluar dari mulut Ain. “Kita tak boleh!” Tegasnya Ain cakap ayat tu. Runtuh hati Mal. Kenapa tak boleh Ain? Kenapa?

Entah setan apa yang merasuk Mal, Mal terus tarik tangan Ain. Mal tahu Ain terkejut sebab Mal dapat rasa Ain cuba tarik tangan Ain dengan bersungguh-sungguh masa tu. Tapi Mal tak peduli, Mal pegang lagi kuat-kuat. Biar Ain tak boleh tarik. Biar Ain tahu betapa kuat cinta Mal dan betapa bersungguhnya Mal kali ni. “Ain, kembalilah bersama Mal”. Mal takkan berhenti merayu tahu tak Ain. Tak kan. Sampai Ain betul-betul kembali pada Mal.

“Mal tak redha?” Soalan Ain itu merenggangkan genggaman tangan Mal. Mal menekup muka. Tiba-tiba rasa malu dengan apa yang telah Mal buat pada Ain waktu tu. Perempuan yang Mal muliakan dulu koni telah Mal malukan dengan memegang tangannya. Tangan isteri Amin. “Mal minta maaf.” Bersungguh Mal memohon maaf dari Ain dari hari tu. Kalaulah Ain tahu betapa Mal menyesal.

“Mal, cinta kita adalah sejarah lalu. Binalah hidup baru Mal. Ain bahagia sekarang dengan suami Ain, Amin. Ain….Ain dah mula cintakan dia”. Mal ingat lagi ayat tu Ain cakap. Ayat itulah yang membuatkan Mal pasrah. Mal sedar. Ain dah mula mengecap bahagian dalam hidup Ain. Kehadiran Mal sekali lagi mungkin akan merosakkan kebahagiaan yang kian Ain kecapi bersama Amin. Mal dengki. Dengki sangat dengan Amin. Beruntung betul dia kerana dapat memiliki cinta sejati dari isteri sebaik Ain. Tak apalah Ain, mungkin inilah masanya hati dan jiwa Mal betul-betul melepaskan Ain pergi. Pergilah Ain mengecap bahagia yang Ain impikan. Mal akan bangkit semula dengan hidup baru. Doakan Mal, Ain.

Lama…lama kita tak jumpa kan Ain. Ain tahu tak, tiba-tiba 3 minggu lepas, Mal terserempak dengan Amin dekat hospital. Masa tu Mal hantar emak Mal buat medical check-up. Entah kenapa tiba-tiba Amin tumbuk Mal, Ain. Terkejut Mal. Dalam hati Mal kata, ‘Apahal pulak mamat ni tiba-tiba nak tumbuk aku? Gila kea pa?’ Sakit tau, Ain. Nasib baik Mal rasional lagi waktu tu. Mal ajak dia bincang sekejap.nasib baik dia nak.

Isk..Isk..memang tak patut…. Sampai hati Amin tuduh Ain macam tu? Tapi Ain jangan risau, Mal dah terangkan semuanya dari A sampai Z dekat Amin. Mal sebenarnya salah juga dalam hal ni. Kalau Mal tak dating semula pada Ain dulu, semua ni mungkin tak kan terjadi. Mal minta maaf Ain. Apalah Mal ni, kata je sayang Ain, tapi sebab sayan tu, Ain pula yang terpaksa tanggung derita.

Ain, bangunlah Ain. Kesian Mal tengok Amin hari-hari menangis sebelah Ain. Baby Ain pun teringin juga nak rasa pelukan dari mamamnya. Bangunlah Ain, semua orang tunggu Ain buka mata. Mal pun tunggu Ain buka mata. Mal nak Ain datang majlis perkahwinan Mal bulan depan. Mal benar-benar nak Ain ada. Ain yang selalu jadi penghidup semangat Mal.

Bangun ye Ain….Mal sayang Ain walaupun cinta Ain tak sempat Mal petik…

Ingin Ku Petik Cintamu 1

“Aku terima nikahnya, Nurul Ain binti Abdullah dengan mas kahwinnya RM80 tunai..” Itu lafaz keramat yang yang abang ucapkan lebih 3 bulan yang lalu. Lafaz tu jugalah yang telah menyatukan kita sebagai suami isteri hingga hari ini. Abang gembira sangat keluarga Ain menerima pinangan abang. betul-betul abang gembira. Tapi abang tau hati Ain dingin. Tak sehangat kegembiraan dan kebahagiaan yang abang rasa waktu tu.

Abang akui mungkin Ain terpaksa menikahi abang hanya kerana ummi dan abah. Lebih daripada itu, Ain hanya menyintai lelaki yang bernama Ikmal itu. Abang bukan tak kenal dengan Ikmal tu, kami satu kolej masa di university dulu cuma kami tak rapat. Kenal gitu-gitu je. Tapi orangnya memang hebat. Hamper seluruh kolej kenal dengannya. Patutlah Ain pun tak dapat lupakan dia. Sampai hari ni pun abang rasa Ain belum dapat lupakan dia.

Buktinya, setelah berbulan kita tinggal sebumbung, tidur sekatil, makan semeja…dan berkongsi banyak ‘benda’ tapi Ain tetap sama… dingin… kita bercakap, tapi bukan macam pasangan lain, kita tonton tv bersama, bila nak pergi kerja Ain cium tangan abang dan abang pun tetap akan mencium dahi Ain walaupun abang sangsi entah Ain suka atau tidak.

Tapi Ain, malam itu entah kenapa abang pun pelik tengok Ain. Ain manja sangat. Waktu tengok tv abang perasan, Ain sengaja melentokkan kepala pada bahu abang. Abang biar je, Ain. Masa tu abang rasa bahagia sangat tapi abang tak naklah tunjuk sangat depan Ain. Beberapa kali abang tengok Ain menguap. Kesian pulak abang tengok Ain.

“Abang tak nak tidur ke?” Ain tanya abang. Abang tengok jam baru pukul 9.30. Slot Majalah 3 pun baru je start setengah jam. Ain tiba-tiba bangun dan tutup tv. Ain terus masuk bilik. Abang senyum je Ain tau masa tu.

Malam tu selepas lebih 3 bulan kita bergelar suami isteri, inilah pertama kali abang melunaskan nafkah batin untuk Ain. Abang bahagia Ain. Tapi abang tak tahu nak cakap macam mana dengan Ain. Akhirnya malam tu berlalu.

Sebelum azan subuh esoknya kita sama-sama terjaga. Abang pandang mata Ain dan Ain pun pandang mata Ain. Pertama kali dalam dalam hidup abang, abang dapat kucup dahi Ain waktu Ain jaga macam ni. Segala rasa syukur abang abang panjantkan kepada Illahi dalam doa selepas solat subuh pagi tu. Akhirnya kita dapat juga hidup bahagia sebagai suami isteri, Ain.

Suatu hari minggu abang tengok Ain macam tengah bercakap dengan seseorang guna handphone. Abang tengok je Ain dari tingkap bilik kita. Tapi Ain tak perasan kot. Abang pelik juga. Kenapa Ain macam menangis? Lepas tu kenapa nak bercakap dekat luar rumah pula? Dalam rumah kita tak ada coverage ke? Abang cek line telefon abang. Ada je. Lama juga Ain bercakap kat telefon, bila Ain masuk je abang tanya “kenapa?” Ain jawab “Tak ada apa-apa” Lepas tu Ain terus masuk bilik air. Banyak kali juga abang tanya Ain lepas-lepas tu tapi Ain tetap jawab “Tak ada apa-apa”. Lepas tu abang pun diamkan je.

Suatu hari, abang keluar minum petang dengan client. Masa nak balik tu kebetulan abang nampak orang yang amat abang kenal. Abang nampak Ain dengan…dengan lelaki. Dan lelaki tu ialah Ikmal. Abang nampak dengan jelas Ikmal pegang tangan Ain. Ain biar je. Tak tarik langsung. Ain menangis. Apa sebenarnya yang terjadi. Hati abang macam mendidih dah waktu tu. Rasa nak je abang terus pergi kat meja yang Ain dan Ikmal duduk dan tarik tangan Ain. Tapi sebab ramai orang abang sabarkan dulu. Hal rumahtangga biar selesaikan di rumah.

Malam tu, Ain balik lewat. Ain minta maaf dekat abang, Ain kata Ain balik rumah emak sekejap. Entah betul entah tidak abang dah mula was-was. Masa Ain mandi abang dah masuk tidur. Rasa tak sanggup nak pandang muka Ain waktu. Abang dah mula mengira-ngira apa yang nak abang cakap dengan Ain. Abang nak tunggu esok sebab esok hari Sabtu. Abang nak tanya Ain betul-betul.

Tengah malam tu abang terjaga daripada tidur dan abang nampak Ain tengah bercakap melalui telefon dekat balkoni bilik kita. Ain tak tidur ke malam tadi? Apa yang Ain buat? Dengan siapa Ain bercakap. Abang cuba pasanag telinga. Dalam bersusah-payang pasang telinga tu, abang hanya dapat tangkap beberapa perkataan… “Ikmal…..mengandung…anak..” Ya Allah apa semua ni? Abang sangsi, Ain.

Pagi esoknya tiba-tiba abang rasa tak ada hati langsung nak pandang muka Ain. apatah lagi nak bercakap dengan Ain. Lepas sarapan abang terus duduk dekat halaman baca surat khabar. Tiba-tiba Ain datang dekat abang. Masa tu abang cakap dalam hati ‘Pergilah sana…’ Abang tak tahu kenapa, abang betul tak nak tengok muka Ain. Kita berdua diam. Akhirnya Ain yang buka mulut dulu. Ain kata “Abang…Ain mengandung”. Ain bercakap sambil tersenyum-senyum. Lepas tu abang tak tahu setan apa yang merasuk abang..abang cakap “Anak aku ke, anak Ikmal?” Lepas tu abang terus berlalu meninggalkan Ain yang terkulat-kulat keliru.

Semenjak kejadian tu, sengaja sibukkan diri. Abang memang sengaja buat macam tu. Abang malas nak balik rumah, malas jugak nak tengok muka Ain dan perut Ain yang besar tu. Abang menyampah. Sesekali bila Ain sms suruh abang temankan pergi klinik, memang abang sengaja tak balas sms tu. Buat apa abang nak berbakti pada janin yang entah benih siapa?

Lama…lama kita macam tu. Dari perut Ain kecil sampailah besar. Tapi, ada abang heran? Suatu hari abang dapat memo dari pihak atasan. Abang kena pergi Langkawi 2 minggu. Abang senyum je tengok memo tu, sebab abang suka abang tak payah sakit hati tengok muka Ain dengan perut Ain yang besar tu. Abang Cuma lekatkan memo abang pergi Langkawi tu dekat pintu peti ais. Ain nak tengok ke tak nak ke, itu Ain punya pasal.

Balik daripada Langkawi, abang terkejut tengok rumah. Tak macam selalu. Bukanlah nak kata bersepah, tapi tak sekemas selalu. Nasib Ain lah kena maki dengan abang. Iyelah, Ain perempuan tak kan tak reti nak kemas rumah. Lepas marah-marah tu abang terus naik bilik dan tidur.

Abang hanya bangun lepas dengar bunyi siren ambulans yang kuat. Bila abang turun abang tengok ada darah dekat tangga dan beberapa kawasan lain. Abang cuak. Abang cari Ain tapi Ain tak ada. Tapi ada nota dekat sebelah telefon. Ada sedikit palitan darah dekat nota tu, abang rasa itu dari Ain.

‘Abang, Ain dan anak kita minta ampun

kalau kami berdosa pada abang.

Doakan Ain selamat

– isteri yang menyintaimu, Nurul Ain.

Abang terduduk dekat tangga. ‘Anak kita?’ Ain pastikah itu anak kita. Macam-macam perasaan datang sekarang ni. Tanpa fikir panjang abang terus memecut kereta ke hospital mencari Ain.

Ain, kenapa Ain tak sedar-sedar lagi? Dah masuk tiga minggu Ain macam ni. Abang teringin nak cakap dengan Ain betapa comelnya anak kita yang abang beri nama Muhammad Faiz, lambang kejayaan Ain mengharungi keperitan mengandungkannya seorang diri…betapa abang menyesal….. abang dah tahu segala-galanya dari mulut Ikmal sendiri. Dia datang semalam untuk melawat Ain. Ain sayang…bangunlah.

Maafkanlah abang sayang….Berilah abang peluang untuk memetik cintamu sekali lagi....

Nukilan : Ainul Abdul