Pages

RSS

Welcome to my Blog
Hope you enjoy reading.

About Me

My photo
Hai semua!!! Selamat datang ke blog Ecah. Dalam blog ni, Ecah banyak kongsikan tentang kehidupan dan pengalaman harian especially pasal cooking, baking dan kucing. Blog ni saya dah bina dari zaman uni dulu, tapi kerana kesibukan blog ni adakalanya tergendala updatenya hihi. Ecah memang suka menulis dari zaman sekolah lagi. Ada beberapa cerpen dan novel pendek Ecah pernah tersiar dalam blog Penulisan2u, tapi dah tak boleh clim hak milik kot sebab email tu email lama dan tak boleh buka. huhuhu InsyaAllah kalau diberikan kesempatan, Ecah akan share lebih banyak lagi lepas ni dalam blog ni ok. Manalah tau boleh tulis cerpen atau novel balik dalam blog ni jugak. hihihi Terima kasih kerana sudi membaca. Jangan lupa drop komen ye, insyaAllah nanti Ecah balas.

Thursday, June 17, 2010

Cinta Hujan Batu 1

Gelap. Dari satu sudut hanya terlihat satu pancaran cahaya berwarna putih. Cahaya putih itu tiba-tiba mengembang dan membesar sehingga seluruh pandangan hanya ada warna putih. Akhirnya Batrisha terlena juga.

Sudah masuk dua minggu Batrisha pulang ke kampung. Perasaan bosannya sudah sampai ke tahap maksima. Biasanya di kampus jarang sekali dia dapat melelapkan mata sebelum pukul satu pagi. Pasti ada sahaja yang dilakukannya. Almaklumlah Batrisha memang aktif dengan aktiviti-aktiviti kampus, maka sudah pastilah masanya sentiasa padat dengan pelbagai aktiviti selain belajar.

Di kampung, paling lewat Batrisha tidur adalah pukul sebelas. Lebih daripada itu, pasti Nek Jah sudah bising menyuruhnya tidur. Sudahlah aktiviti harian langsung tidak memenatkan, bagaimanalah dia hendak tidur seawal itu?

Semasa di kampus, di waktu-waktu sibuk dan memenatkan itu, seringkali dia merungut ingin bercuti di kampung. Kini apabila sudah berada di kampung, perasaannya seperti disayat-sayat pula apabila tiada kerja yang ingin dilakukan.

Mana tidaknya, baru sahaja dia hendak melakukan kerja-kerja rumah yang berat, Nek Jah pasti menghalang. Bukannya apa pun, hanya hendak memanjat kerusi untuk menukar mentol pun Nek Jah dah menjerit menghalang. Letih tau. Letih sebab tak dapat buat apa-apa pun.

Apabila mengenangkan segala aktiviti yang dilakukan semasa di kampus, lagilah hatinya terasa rindu. Tahu je lah si Batrisha. Ratu aktiviti outdoor. Tak kisahlah mendaki gunung, berakit, berkayak atau apa sahaja. Asalkan lasak.

Memang Nek Jah tak pernah tahu apa yang dibuatnya itu. Kalaulah Nek Jah tahu sudah pasti dia akan dibebelnya dua hari tiga malam. Tersenyum Batrisha apabila mengingatkan segala kenangannya di kampus.

Batrisha sudah bangun sewaktu Nek Jah sedang bersiap ke surau untuk bersolat Subuh berjamaah. Nek Jah nampak terkejut sewaktu terserempak dengan Batrisha di dapur.

“Awal Ica bangun. Mimpi apa malam tadi?” Tegur Nek Jah. Batrisha hanya tersenyum sambil menunjukkan kain telekung di tangannya.

”Nak ikut nenek ke surau ke?” Batrisha mengangguk. ”Hai dah bisu pulak ke Ica ni?”

”Sayang suaralah nek.” Nek Jah tersenyum kecil melihat galagat cucu angkatnya itu. Sejak dua minggu dia dia pulang baru inilah kali pertama Batrisha menawarkan diri untuk bersolat berjemaah dengannya di surau.

Selesai solat, Batrisha bersalaman dengan semua jemaah perempuan di surau itu yang rata-ratanya golongan ibu-ibu yang mungkin sama baya denga Nek Jah atau kalau adapun mungkin muda sedikit sahaja daripada Nek Jah.

”Siapa ni Mak Jah?” Tanya Normah anak Lebai Seman, imam kampung.

”Ni lah cucu aku yang belajar di UKM. Baru dua minggu balik ke sini.” Jelas Nek Jah.

”Oh, patutlah tak pernah nampak sebelum ni. Cuti-cuti tak pernah balik ke sini ke Mak Jah?” Mak Joyah becok bertanya.

”Dia duduk dengan mummynya.” Jelas Nek Jah ringkas. Batrisha hanya senyap berdiri di sebelah Nek Jah.

”Salina anak sulung Mak Jah tu ke?” Kepoh betullah Mak Joyah ni. Lepas soalan tu, Batrisha sudah menonong masuk ke halaman rumah Nek Jah. Dia sengaja buat-buat seperti menyusun selipar di tangga.

Setelah melihat mak cik-mak cik tadi bersurai dan Nek Jah mula melangkah masuk ke halaman barulah Batrisha berdiri.

”Aduh.” Batrisha menjerit kecil apabila lengannya rasa dicubit oleh Nek Jah. ”Kenapa nenek ni?”

”Eloknya perangai anak dara macam tu. Orang tengah bersembang pasal dia, dia boleh menonong macam tu je.” Bebel Nek Jah.

“Bukanlah, nek. Ica malas je nak join orang bergosip. Tak baik tau nek.” Batrisha tersengih di tangga.

“Banyaklah Ica punya gosip. Diorang tu tak pernah jumpa Ica. Itulah yang banyak sangat diorang tanya. Ica tu pun dulu kan tak pernah balik ke sini?”

“Alah nenek ni dah mulalah tu. Okeylah nenek, lepas ni Ica janji tak buat lagi, okey?” Batrisha mengangkat lima jarinya ke tepi telinga seperti orang bersumpah.

“Iyelah Ica tu. Dah, pergi ke dapur siapkan sarapan. Teringin pulak nenek nak makan sarapan dari tangan Ica. Nenek nak ke belakang bagi ayam makan.”

”Hah? Sarapan nek?” Batrisha menggaru kepalanya yang tidak gatal.

”Ha, kenapa pulak?” Soal Nek Jah.

”Tak adalah nek, hurm...apa kata kalau hari ni kita tukar shift?” Batrisha mengumpan.

”Sh...shh...ship? Apa ke bendanya tu Ica?” Terkekek Batrisha.

”Hurm…maksudnya macam kita tukar kerjalah nek. Nenek buat sarapan, biar Ica yang bagi makan ayam. Lagipun, ayam-ayam tu semua suka dengan Ica tau nek. Bolehlah ye nek?” Bodek Batrisha.

“Alasanlah tu. Ingat nenek tak tahu yang Ica tu memang tak tahu masak?” Balas Nek Jah.

“Hish, pandai-pandai je nenek ni. Siapa kata Ica tak pandai masak? Hurm..saje je la Ica tak nak tunjuk skill.” Lagak Batrisha.

“Ha, pandai masak kan? Dah pergi ke dapur sana. Nenek nak ke belakang. Nenek naik nanti mesti dah siap ye.” Tegas Nek Jah sambil tangannya menarik tangan Batrisha ke dalam.

Batrisha berdiri tegak di tengah-tengah dapur. Dia cuba melihat sekitar kalau-kalau ada sesuatu yang boleh dijadikan sesuatu. Matanya terhenti pada satu tin sardin dan sebuku roti. Batrisha tersenyum.

Lama Batrisha menunggu Nek Jah naik. Namun batang hidungnya tak juga kelihatan.

”Mana pulak nenek ni pergi? Tadi beriya suruh aku buat breakfast. Penat-penat aku buat ni, dia pergi mana pulak?” Rungut Batrisha. Akhirnya di tertidur di meja dapur.

Dia hanya sedar apabila hidungnya menangkap satu bau yang sangat wangi dan enak. Bau durian.

”Mana nenek pergi? Penat Ica tunggu nak sarapan sama. Sampai tertidur tau.” Ica bersungut manja.

”Nenek ke rumah Mak Limah, dah sarapan pun di sana. Dia tahu Ica balik, tulah yang dia kirim buah durian ni. Nah ambil ni.” Nek Jah menyuakan buah durian ke hadapan Batrisha.

”Nenek sarapan dekat sana? Sampai hati nenek tau. Penat-penat Ica buatkan sarapan. Ingat nak makan dengan nenek, tapi nenek makan dekat rumah orang lain pulak.” Batrisha merajuk tanpa menghiraukan buah durian yang nampak menyelerakan itu.

”Tak apa, nanti boleh buat minum petang. Dah lah nenek nak ambil pucuk ubi kat belakang.” Nek Jah terus berlalu.

Kecil hati Batrisha apabila melihat Nek Jah seperti tak menghargai langsung usahanya untuk menyediakan sarapan pagi itu. Sebaik sahaja Nek Jah melangkah keluar, Batrisha terus menuju ke biliknya.

Batrisha benar-benar merajuk. Dia memeluk bantal peluknya erat dan tiba-tiba dia menangis. Terlupa bahawa dia belum pun bersarapan. Akhirnya dia terlelap.

Batrisha bangun dari lenanya apabila mendengar bunyi orang ramai di ruang tamu. ”Ada apa ni? Ataupun aku mengigau ni?” Batrisha menampar-nampar pipinya. Dia menoleh jam didinding. Pukul 2.30. ”Alamak, belum solat Zohor.”

Batrisha berlari untuk berwudhuk dan dia terpaksa pula melewati ruang dapur di mana ramai kaum ibu duduk berkumpul. Semakin pelik Batrisha dibuatnya.

Selesai solat, dia mula menjejakkan kakinya ke dapur. Berbunga juga hatinya apabila melihat tetamu-tetamu itu makan roti sandwich yang disediakannya pagi tadi.

”Ada apa ni nek?” Bisik Batrisha kepada neneknya.

”Nenek lupa nak bagitau Ica, nenek nak buat kenduri sikit. Alah, makan-makan je. Lagipun, mummy Ica dengan pak su nak balik petang ni. Kebetulan Ica pun dah lama tak balik, itu yang nenek ingat nak buat kenduri doa selamat sikit.”

Penerangan ringkas daripada Nek Jah sudah cukup untuk memberitahu Batrisha yang dia perlu meringankan tangan menolong di dapur. Apa nak buat...rutin...anak daralah katakan.

No comments:

Post a Comment