”Mummy janganlah risau. Tahulah Ilham jaga diri. Mummy pun kena jaga kesihatan tau.” Ilham mengesat air mata yang jatuh di birai mata ibu kesayangannya.
“Abang, ni ada call sekejap.” Intan menghulurkan telefon bimbitnya kepada Ilham.
“Dari siapa?” Soal Ilham pula.
”Nenek.” Ilham tersenyum mendengar jawapan dari mulut Intan.
”Assalamualaikum nenek. Nenek sihat?” Ilham memulakan bicara sopannya bersama Nek Jah. Salina hanya memerhati dari jauh. Jauh di sudut hatinya dia terasa berat sekali untuk melepaskan anak bujangnya itu untuk terbang jauh darinya. Namun apakan daya, ini semua adalah untuk kebaikan anaknya itu juga.
”Nah, Intan.” Ilham menyerahkan semula telefon bimbitnya kepunyaan Intan.
”Okeylah mummy, dah tiba masa nak berlepaslah.” Sekali lagi Ilham memeluk Salina. Lama. Mungkin dia juga berasa berat untuk meninggalkan ibu yang membesarkannya sejak daripada kecil setelah bapa yang diharapkan untuk membela nasibnya pergi meninggalkan mereka sekeluarga.
”Intan, jaga mummy tau.” Ilham meninggalkan amanat sambil tangannya mengusap rambut Intan. Walaupun selalu bertekak dengan Ilham itu, namun tumpah juga air mata Intan untuk melepaskan Ilham pergi. Almaklumlah, Ilham bukannya pergi dekat-dekat, tetapi jauh pula di United Kingdom. Entah berapa jam pula yang perlu diambil untuk ke sana. Akhirnya, hanya lambaian terakhir Ilham yang kelihatan setelah dia melepasi tempat pemeriksaan.
”Kesian Ica tak dapat datang sini tengok abang pergi kan mummy.” Kata Intan sewaktu perjalanan pulang bersama Salina.
”Yelah. Tiba-tiba nenek demam pulak. Mujur dia ada di kampung nak tengok-tengokkan nenek.” Salina meneruskan pemanduannya menuju ke rumah. Dalam otaknya teringat permintaan Batrisha untuk ikut sama menghantar Ilham ke lapangan terbang.
Namun apakan daya, ibunya tiba-tiba jatuh sakit di kampung. Kenduri doa selamat yang dibuat di rumah Salina juga tidak dapat dihadirinya. Dalam hatinya tetap bersyukur kerana dipertemukan dengan anak bernama Batrisha. Walaupun pelbagai dugaan dihadapinya demi Batrisha namun dia tetap tabah.
”Jadi betullah apa yang kawan-kawan I selalu cakap pasal you selama ni.” Ikram menyalakan rokok di tangannya.
”Apa yang you cakap ni Ikram?” Salina menjadi pelik.
”You tak payahlah nak berlakon jadi baik pulak Salina. Bukannya I tak tahu yang you tu simpan lelaki dekat luar sana kan?” Ikram menambah.
”Ikram! Apa yang you mengarut ni? Sejahat-jahat I, I tak pernah buat perkara terkutuk tu lah.” Salina membela diri.
”Habis anak siapa pulak yang you simpan dekat kampung tu? You jangan ingat I bodohlah Salina.” Salina mengurut dadanya yang sakit dengan tohmahan tidak berasas yang dilemparkan oleh Ikram.
”Ikram, I rasa you ni dah salah fahamlah. Anak tu bukan anak kandung I lah. Itu anak angkat I.” Salina menerangkan duduk perkara sebenarnya kepada suaminya.
”Hahaha.”. Ikram ketawa tiba-tiba dan ianya benar-benar membuatkan Salina terkejut. ”You ingat I ni bangang sangat ke nak percaya kata-kata you tu, hah?” Ikram menengking pula. ”Semua kawan-kawan I dah kecoh, kata yang you ni buat hubungan sulit dengan lelaki entah mana-mana. Rupanya inilah kerja you waktu I di oversea ye.” Serkap Ikram lagi.
”You jangan nak tuduh I sebarangan Ikram. I tak pernah buat semua benda yang you tuduh tu lah.” Salina sudahpun menitiskan air mata. Hatinya benar-benar hancur. Dia langsung tidak menyangka yang kesetiaanya yang tidak berbelah bagi kepada suami tercintanya itu kini telah diragui oleh suaminya sendiri.
Ikram menghempaskan tubuhnya ke sofa. Langsung tidak dihiraukan Salina yang sedang teresak-esak menangis. Dia langsung tidak menyangka bahawa isteri yang dinikahinya lebih 12 tahun yang lalu telah berlaku curang kepadanya. Selama dia bertugas di China selama 6 bulan, dia meninggalkan Salina dengan penuh kepercayaan. Namun nampaknya semuanya telah dihancurkan oleh Salina.
Sangkanya selama ini hanya kawan-kawan yang ingin memburukkan isterinya itu. Namun apabila dia mendengar sendiri cerita dari mulut Intan tentang ‘adik’ di kampung dan melihat sendiri gambar anak kecil dalam telefon bimbit Salina, Ikram menjadi percaya dan yakin dengan segala cerita yang pernah sampai ke telinganya tentang isterinya.
“Salina, I tahu you rasa tak bahagia hidup dengan orang macam I. Yelah, I ni bukan macam suami orang lain yang ada di rumah selalu. Mungkin you tak puas kan?” Teriakan Salina semakin berdengung.
“Atau, you mungkin juga rasa tak bebas semenjak berkahwin dengan I. Ikram menyambung. Kalau you nak bebas, biarlah malam ni menjadi saksinya I be.....” Ikram tidak meneruskan kata-katanya apabila Salina tiba-tiba menerkam kakinya.
“Jangan Ikram. Tolonglah jangan cakap ayat tu. Ini semua salah faham je, Ikram. I sayangkan you!” Salina seperti kerasukan. Ikram memejamkan matanya sedang Salina masih memaut kuat kakinya dengan raungan yang semakin menjadi-jadi.
”Salina. Ikram menarik nafasnya dalam-dalam. Aku lepaskan kau dengan talak satu.” Dengan lafaz itu, sekelip mata Salina merasakan yang dunianya tiba-tiba bertukar menjadi gelap. Dia langsung tidak menyedari apa-apa sehinggalah dia merasakan ada tangan-tangan kecil yang menggenggam erat jari-jemarinya.
”Mana daddy sayang?” Soal Salina sebaik sahaja membuka matanya.
”Daddy dah pergi mummy.” Ujar Ilham sayu. Ada manik-manik jernih di tubir matanya. Jelas kelihatan seperti dia cuba menahan tangis di depan Intan. Namun dia gagal. Apalah yang mampu dilakukan oleh kanak-kanak sekecil Ilham pada ketika itu.
Dan, itulah kali terakhir Salina melihat Ilham menitiskan air matanya.
Ilham merenung pemandangan yang indah dari tingkap kapal terbang BOEING 5112 itu. Seingat Ilham, itulah kali pertama dia menaiki kapal terbang selepas usianya 7 tahun. Itupun sewaktu dia dan keluarganya bercuti ke Langkawi.
Seingatnya itulah kenangan terakhirnya bersama bapanya sebelum bapanya pergi begitu sahaja meninggalkan mereka sekeluarga. Semenjak itu Salinalah yang berusaha gigih membesarkannya sehinggalah kini dia mampu terbang ke UK untuk melanjutkan pelajarannya.
Apabila memori itu menyinggah, wajah seseorang tetap menyelit ke dalam kotak ingatan Ilham. Wajah kanak-kanak perempuan yang berkulit hitam manis, selalu bertocang dan memakai skirt. Bukan Intan. Tapi Batrisha.
Ilham tiba-tiba mengetap bibirnya dan menggenggam buku limanya. Terasa kembali dendam lamanya terhadap kanak-kanak itu. Walaupun sudah bertahun-tahun lamanya, namun kesannya tidak pernah pudar dalam ingatan Ilham.
Baginya, Batrishalah penyebab mummy dan daddynya bercerai dan mereka hidup tanpa kasih sayang seorang ayah. Semuanya kerana kehadiran seorang kanak-kanak bernama Batrisha.
Ilham merebahkan kerusinya. Dia memejamkan matanya. Dia ingin melupakan wajah kanak-kanak perempuan itu. Ingin melupakan suaranya. Ingin melupakan segala-galanya tentang Batrisha.


No comments:
Post a Comment