”Apa yang korang termenung kat sini?” Soal Batrisha. Pelik dia melihat Zakwan, Abu dan Ijai yang duduk menongkat dagu di tepi padang.
”Tu.” Ijai menunjukkan ke arah seorang perempuan bertocang dua yang sedang bermain bola jaring.
”Alah, setakat jaringkan bola macam tu, aku pun boleh.” Lagak Batrisha. Namun pandangan ketiga-tiga budak lelaki tu langsung tidak terganggu.
“Siapa nama dia hah?” Tanya Zakwan pula.
”Alah, takkan korang tak tahu. Itu kan Nadia. Anak guru besar baru tu.” Jawab Batrisha selamba.
”Oh.... Nadia.” Ketiga-tiganya bersuara serentak. Batrisha ketawa besar.
”Korang ni dah macam Bujang Lapuk aku tengok. Dah lah wei, jomlah balik. Petang ni kan kita nak pergi memancing kat sungai belakang rumah nenek aku. Jom wei!” Ajak Batrisha. Namun, ketiga-tiga budak lelaki itu langsung tidak berubah tempat.
”Adoi...apa dah kena dengan korang ni. Lantak lah korang, apa-apa pun jumpa petang ni lepas Asar kat sungai ye!” Batrisha terus mengayuh basikalnya meninggalkan sahabat-sahabatnya itu.
Cuaca yang panas tengahari itu benar-benar membuatkan Batrisha bermandi peluh. Dia makin melajukan kayuhannya. Terbayang di ruang matanya air sirap ais yang berwarna merah yang sejuk dan penuh nikmat.
Sampai sahaja di halaman rumah Nek Jah, Batrisha terkejut melihat kereta mummy yang sudah elok terpakir di bawah pokok ceri yang rendang.
”Mummy tak cakap pun nak datang.” Batrisha menyorong basikalnya dan diletakkan elok di bawah rumah.
”Assalamualaikum mummy.” Batrisha menyalami Salina dengan penuh sopan. Ibu tunggal itu tersenyum lantas mencium dahi Batrisha yang kilat berpeluh.
”Busuknya anak mummy ni.” Gurau Salina.
”Ye la, tadi Ica sprint tu yang berpeluh-peluh ni. Mummy tunggu ye, Ica nak mandi sekejap.” Batrisha meminta diri.
”Nenek, tolong siangkan ikan ni boleh tak?” Batrisha menyuakan beberpa ekor ikan sepat dan puyu yang berjaya dipancingnya petang tadi.
”Ica ke yang pergi tangkap ikan ni?” Tanya Salina kagum melihat anaknya.
”Yelah mummy. Ica memancing sorang-sorang je hari ni. Zakwan, Abu dengan Ijai tu kata je nak memancing sama tapi batang hidung dorang tak nampak pun.” Rungut Batrisha.
”Kawan-kawan Ica semuanya lelaki ke?” Tanya Salina.
”Hurm... tak lah. Ada jugak yang perempuan. Tapi tak berapa ngamlah mummy.”
”Kenapa?”
”Yelah, diorang tu asyik nak terasa je. Cakap sikit nak terasa. Ajak main basikal pun tak nak. Penat lah, panas lah. Apa-apa entah. Kalau dengan Wan, Abu dan Ijai senang mummy. Lagipun, Abang Ilham kan tak suka kawan dengan orang lembik. Kan mummy?”
Salina hanya tersenyum mendengar kepetahan anak angkatnya yang berusia 12 tahun itu. Daru jauh, Nek Jah hanya memerhatikan dua beranak itu berbual sambil tangannya mengemas baju-baju yang telah siap di jahit tulang belut.
Batrisha menjadi anak angkat Salina sejak dia berusia 3 tahun. Waktu itu, Batrisha dan kedua ibu bapanya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya berhampiran dengan jalan masuk ke kampungnya.
Selaku saksi utama dalam kemalangan yang menyayat hati itu, Salina rasa bertanggungjawab untuk memelihara Batrisha. Lalu Batrisha dijadikan anak angkatnya.
Namun begitu, sewaktu Salina bersiap untuk membawa Batrisha pulang ke Kuala Lumpur, Nek Jah pula mempelawakan dirinya untuk membesarkan Batrisha. Salina tidak mampu berbuat apa-apa melainkan hanya bersetuju sahaja dengan permintaan ibu kandungnya itu.
Pun begitu, hampir setiap minggu Salina akan pulang ke kampung untuk berjumpa dengan Batrisha. Kadang-kadang dia membawa sama anak-anaknya yang lain. Mujurlah Intan menerima kehadiran Batrisha dalam keluarga mereka. Cuma Ilham yang bersifat agak ganjil.
Ilham anak sulung Salina. Sewaktu mengetahui yang Salina ingin mengambil anak angkat dia baru berusia 9 tahun. Pada awalnya dia agak gembira dan berharap bahawa adik angkatnya itu nanti adalah lelaki. Namun apabila mendengarkan jantinanya perempuan, Ilham seolah-olah mengisytiharkan perang terhadap Batrisha.
Batrisha tidak pernah dilayan baik oleh Ilham. Ada sahaja pasal yang ingin dicarinya apabila bertemu dengan Batrisha. Apabila di buli oleh Ilham, Batrisha hanya tahu menangis sahaja. Itulah sahaja senjata yang dia ada.
“Ilham, tak baik buat dekat Ica macam tu. Dia anak yatim tahu. Berdosa Ilham nanti.” Nasihat Nek Jah apabila melihat sikap cucu sulongnya itu seakan menjadi-jadi.
“Alah, bila ada budak tu, semua orang sayang kat dia. Semua dah lupa dekat Ilham.” Itulah ayat yang sering keluar dar mulut Ilham sekiranya ada orang yang ingin membela Batrisha.
Namun, ada sekali Salina pelik dengan tingkah laku Batrisha. Dia naik ke rumah Nek Jah dengan ibu jari kaki kanannya berdarah. Tapi dia langsung tak menangis.
“Ya Allah, kenapa ni Ica?” Soal Salina. Dia agak cemas melihat kuku anaknya itu terkopak. Batrisha hanya menggeleng dan berlari ke dalam biliknya. Salina menjenguk ke halaman. Dia melihat Ilham yang sedang duduk di atas basikal sambil matanya memendang ke atas rumah.
”Ilham, naik!” Jerit Salina dari atas. Ilham yang kecut perut mendengar teriakan mummynya terus menyembunyikan diri di dalam bilik mandi.
Malam itu, Salina merawat cedera di kaki Batrisha. Batrisha yang sedang tidur sesekali bergerak akibat kesakitan.
”Kesian Ica kan mummy. Abang Ilham tu memang tak patut buat Ica macam ni kan mummy.” Perlahan suara Intan.
”Apa yang Abang Ilham buat dekat Ica, Intan?” Salina menyoal selidik.
”Entah, Intan nampak diorang bersembang-sembang sekejap. Lepas itu kenapa entah, tiba-tiba abang langgar kaki Ica dengan basikal. Abang kata kalau nak kawan dengan abang, jangan mengadu dengan mummy atau nenek dan jangan nangis. Lagi apa entah abang cakap, Intan tak dengar dah.” Adu Intan.
Sayu hati Salina mendengar cerita Intan. Tangannya menyapu lembut rambut Batrisha sambil matanya memandang Ilham yang sedang enak tidur sambil memeluk bantal.
”Mummy ni asyik termenung je. Kenapa mummy?” Soal Batrisha selepas keluar dari bilik mandi. Salina baru tersedar dari lamunannya hanya tersenyum.
”Mummy, kenapa Kak Intan dengan Abang Ilham tak datang sekali?” Soal Batrisha.
”Oh...abang dan kakak Ica tu ada dekat KL. Abang Ilham tengah buat preparation ke UK. Kak Intan pulak ada dekat asrama.” Jawab Salina lembut.
”Wah, Abang Ilham dapat pergi UK. Bestnya mummy. Ica teringin nak jumpa Abang Ilham. Dah lama sangat dia tak datang sini. Kalau Ica pergi sana pun dia selalu tak ada dekat rumah.” Kata-kata Batrisha itu betul-betul membuatkan hati Salina sayu.
”Mummy, nanti kalau nak hantar abang pergi airport, Ica nak ikut ye. Ica nak lambai-lambai dekat abang, Ica nak cakap yang Ica dah boleh jadi kawan Abang Ilham sebab Ica dah tak kuat mengadu dan tak menangis lagi.” Ujar Batrisha sambil meratah jagung rebus yang di masak Nek Jah.
Salina hanya tersenyum. Rambut Batrisha diusap lagi. ”Yelah sayang.”


1 comment:
" Waktu itu, Batrisha dan kedua ibu bapanya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya berhampiran dengan jalan masuk ke kampungnya. "
Erm...ayat ni mcm salah je, xn batrisha pun meninggal same..heh....tu je yg lain ok dah...
Post a Comment