”Assalamualaikum. Bad...oh Bad.” Laung Zakwan dari halaman rumah Nek Jah.
”Oh, Wan. Sekejap, Ica tengah bersiap lagi tu. Ica cepat siap!” Laung Nek Jah dari muka pintu.
”Ye la... Ica dah siap lah ni. Jom Wan. Ica pergi dulu ye nek.” Batrisha terus menyalami tangan Nek Jah. Dengan pantas, Nek Jah menarik topi yang menutup kepala Batrisha.
”Orang perempuan tak pakai topi macam ni lah Ica.” Ujar Nek Jah. ”Ni untuk orang lelaki je. Macam Wan, macam pak su. Kan Wan?” Zakwan hanya tersengih dari atas basikalnya.
”Alah nek, kat luar tu panas terik. Ica pakai topi untuk berlindung dari matahari je lah nek. Nanti kalau muka Ica hitam macam mana?” Batrisha mengumpan Nek Jah.
”Kalau panas, pakai payung”. Ujar Nek Jah sambil menunjukkan kearah payung berwarna hitam di tepi tangga.
”Tak nak lah nek. Pakai payung tu nanti orang ingat Ica ceti pulak.” Tergelak Zakwan mendengar ayat itu dari mulut Batrisha. Akhirnya Nek Jah terpaksa mengalah juga dengan mulut cucunya yang petah itu.
”Wan, kita lumba nak hari ni?” Ajak Batrisha.
”Tak nak lah Bad, nanti Nek Jah marah macam hari tu.” Zakwan menolak.
”Hari tu? Time tu siapa suruh kita lumba depan rumah nenek aku. Hari ni nenek aku tak nampak, jomlah Wan. Okey, kalau kau menang aku belanja kau ais krim pong nak?”
”Hurm....okeylah. Ke garisan, sedia, mula!” Zakwan dan Batrisha memulakan kayuhan basikal masing-masing. Pada awalnya Zakwan mendahului perlumbaan namun, selepas satu selekoh sebelum masjid, Batrisha berjaya pula mendahului Zakwan.
Batrisha tersenyum selepas berjaya memotong Zakwan. Apatah lagi apabila dia sudah melihat pintu pagar sekolahnya. Nampaknya Zakwan terpaksa berputih mata kali ini.
Namun senyumannya hanya semetara. Dalam jarak kurang dari lima meter dari pintu pagar sekolahnya, Batrisha terlanggar lopak yang dalam sehingga menyebabkan dia dan basikalnya terpelanting ke tepi jalan.
Zakwan yang melihat kejadian itu tergamam seketika. Dia hanya sedar apabila melihat Batrisha yang cuba bangun.
”Bad, ko tak apa-apa ke?” Soalnya panik.
“Tak apa...aku okey. Aduh!” Batrisha menjerit kecil.
“Siku kau berdarah, Bad.” Batrisha hanya memandang luka di sikunya yang mengeluarkan darah yang berwarna pekat. Cepat-cepat Zakwan mengeluarkan sapu tangan dari poketnya lalu dibalutnya luka Batrisha.
”Jomlah Bad aku hantar kau balik.” Ujar Zakwan sambil membantu Batrisha berdiri.
“Gila kau. Kau nak tengok nenek aku rotan aku macam hari tu? Huh...tak sanggup aku. Tak apalah Wan, sikit je ni. Jomlah kita masuk.”
Mujur hari itu hari Sabtu dan itu hanyalah kelas tambahan. Jadi tidak ramailah yang perasan akan kecederaan yang dialami oleh Batrisha hari itu.
Ica cari apa kat situ. Nek Jah menegur Batrisha apabila melihat dia meraba-raba ke atas para yang tinggi.
”Hah...jumpa pun.” Batrisha tersenyum apabila menjumpai botol minyak gamat dari atas para itu.
”Nak buat apa dengan minyak tu Ica?” Soal Nek Jah lagi.
”Hurm....tak ada apa nek. Nek, Ica masuk tidur dulu ye. Selamat malam nek.”
”Hurm..” Tanpa mengesyaki apa-apa Nek Jah hanya menghantar langkah Batrisha dengan ekor matanya sahaja. Tumpuannya diteruskan dengan menyiapkan jahitan tulang belut yang pada baju tempahan.
Di dalam bilik, Batrisha melihat luka pada sikunya. Besar juga, bisiknya. Apabila dia menyelak seluarnya pula, jelas kelihatan calar-balar yang pelbagai saiznya. Dengan berhati-hati dia menyapukan minyak gamat pada setiap luka tersebut.
Batrisha cuba tidak bersuara sedikit pun walaupun sakitnya sukar hendak digambarkan. Dia takut ketahuan dengan Nek Jah. Mahu sampai esok pun tak habis bebelannya.
”Macam mana luka kau hari tu Bad? Dah okey?” Soal Zakwan apabila sesi persekolahan minggu itu dibuka.
”Okey je, cuma luka dekat siku ni je, tak kering lagi. Apa-apa pun terima kasihlah tolong aku hari tu.” Ucap Batrisha ikhlas.
”Lah...kita kan bestfriend. Apa nak berkira sangat.” Balas Zakwan.
Batrisha bangga mempunyai kawan baik seperti Zakwan. Dia memahami, mengambil berat dan yang paling penting, satu kepada dengannya. Itu jugalah mungkin yang menjadi resepi mengapa hubungan persahabatan mereka berdua berkekalan dari darjah satu hingga kini mereka sudah di darjah enam.
”Bad, apasal kau suruh aku panggil kau Bad hah? Sedangkan kat rumah, Nek Jah panggil kau Ica kan?” Soal Zakwan.
”Saja.” Ringkas jawapan Batrisha. Dengan jawapan itu, malas Zakwan hendak menyoal lagi. Melihat Zakwan terdiam Batrisha menyoal, ”kenapa? Kau tak suka ke?”
”Eh, tak lah. Cuma aku pelik je. Tapi aku selesa je, Bad ke Ica sama je. Kalau panggil Bad, aku rasa kau ni dah macam geng-geng lain macam Abu, Ijai dan yang lain-lain. Senang sikit aku.”
Batrisha tersenyum mendengar kata-kata Zakwan. Begitulah sikap dan perwatakan Batrisha. Dari kecil kawan baiknya hanyalah Zakwan. Apa yang Zakwan main, itulah juga permainannya.
Pernah mummynya membelikan hadiah anak patung sewaktu hari jadinya. Namun, selepas melihat Zakwan menunjukkan aksi tidak berminat pada permainan itu, Batrisha terus memperosokkannya ke dalam almari.
Batrisha pun jarang mengenakan skirt atau blaus. Dia lebih selesa mengenakan seluar dan t-shirt sahaja. Apabila ditegur Nek Jah, alasannya kalau memakai skirt, malu kalau orang melihat betisnya yang putih itu.
Ada sahaja alasan dari mulut Batrisha yang sampai ke telinga Nek Jah. Kadang-kadang sampai dia sudah tidak kuasa lagi hendak menegur. Namun, sesekali terpaksa juga Batrisha mengenakan skirt dan blaus. Itupun kalau mummynya memaksanya sewaktu hendak keluar ke pekan.
”Bad, aku nak tanya ni. Kau ni perempuan ke lelaki hah?” Soal Abu sewaktu mereka ramai-ramai minum ais kacang di Warung Alang Husin.
”Kau rasa?” Soal Batrisha semula.
”Entah.” Jawab Abu sambil menghirup ais kacang dari mangkuknya.
”Ni, sini. Cuba kau eja lepas tu kau baca ni.” Batrisha menyuakan tanda namanya kepada Abu.
”B.A.T.R.I.S.H.A. Batrisha.” Abu membaca sepatah-sepatah.
”Pandai Abu eja ye. Bunyinya macam nama perempuan ke lelaki, Abu?” Soal Zakwan pula persis seorang cikgu.
“Hurm...perempuan lah kot.” Jawab Abu sambil menggaru-garu kepalanya. Semua yang ada di situ ketawa melihat galagat Abu. “Habis, kenapa kau suruh kitorang panggil kau Bad? Kan macam nama lelaki tu?”
“Saja je lah, Abu. Bad ke, Batrisha ke, tak pentingkan? Yang penting aku jadi sahabat korang semua.”
Begitulah Batrisha. Sikapnya disenangi. Tapi dia punya prinsip. Walaupun apa pun nama gelarannya, dia tetap Batrisha. Anak kepada seorang ibu yang penyayang, adik kepada kakak dan abangnya dan cucu kepada Nek Jah. Walaupun dia sedar bahawa di hanya ’penumpang’ dalam kelurga itu, namun dia akan berusaha untuk membahagiakan semua insan di sekelilingnya. Kerana baginya, merekalah yang memberi sinar baru dalam kehidupannya.


No comments:
Post a Comment