Pages

RSS

Welcome to my Blog
Hope you enjoy reading.

About Me

My photo
Hai semua!!! Selamat datang ke blog Ecah. Dalam blog ni, Ecah banyak kongsikan tentang kehidupan dan pengalaman harian especially pasal cooking, baking dan kucing. Blog ni saya dah bina dari zaman uni dulu, tapi kerana kesibukan blog ni adakalanya tergendala updatenya hihi. Ecah memang suka menulis dari zaman sekolah lagi. Ada beberapa cerpen dan novel pendek Ecah pernah tersiar dalam blog Penulisan2u, tapi dah tak boleh clim hak milik kot sebab email tu email lama dan tak boleh buka. huhuhu InsyaAllah kalau diberikan kesempatan, Ecah akan share lebih banyak lagi lepas ni dalam blog ni ok. Manalah tau boleh tulis cerpen atau novel balik dalam blog ni jugak. hihihi Terima kasih kerana sudi membaca. Jangan lupa drop komen ye, insyaAllah nanti Ecah balas.

Friday, June 25, 2010

Cinta Hujan Batu 8

Batrisha sedang mengemas begnya sewaktu Salina menelefonnya tengahari itu. Agak berat dia mengatur langkah apabila Nek Jah memanggil namanya.
”Ica nak pergi juga ke camping tu?” Soal Salina.
”Iyelah mummy. Lagipun Ica salah seorang ahli jawatankuasa dalam program camping ni. Takkanlah Ica tak pergi. Nanti apa pulak kata cikgu dan kawan-kawan.” Batrisha memujuk Salina.
Akhirnya Salina terpaksa juga akur dengan karenah anak daranya yang seorang tu. Kalau diikutkan hatinya dia memang tidak senang dengan penampilan Batrisha. Penampilannya tak ubah seperti gaya budak lelaki.
Namun seingat Salina sewaktu mula-mula memelihara Batrisha dulu, tiada pula tanda-tanda yang anaknya itu lebih cenderung kepada aktiviti kasar yang lebih sinonim dengan budak lelaki. Seingatnya, Batrisha pada ketika itu sama sahaja seperti kanak-kanak perempuan lain. Bermain anak patung dan masak-masak dengan Intan. Menangis bila disakat Ilham.
Entah. Salina benar-benar tidak sedar dengan perubahan itu. Tak mungkin Nek Jah yang mendidiknya menjadi seperti itu. Atau mungkin kerana pergaulan rapatnya dengan Zakwan? Salina tidak pasri yang pastinya dia ada merancangkan sesuatu untuk Batrisha.
”Okeylah mummy, Ica nak tidur awallah malam ni. Esok kena bangun pagi-pagi sebab nak bertolak pun pagi-pagi.
Okeylah. Ica jaga diri baik-baik tau.
Mummy jangan risaulah. Ok, I love you, mummy. Assalamualikum. Batrisha mematikan talian. Dalam hatinya lega kerana Salina tidak banyak soal tadi.
Selesai mengemas beg pakaian, Batrisha beralih ke meja belajarnya. Kesibukannya menguruskan hal-hal persatuan rupanya telah mengakibatkan mejanya itu menjadi ibarat sarang tikus. Buku-buku bersepah di sana-sini. Kertas dan alat tulis juga sama. Batrisha menggeleng sendiri melihat keadaan itu.
Nasib baik nenek tak masuk bilik ni. Kalau tau mahunya tujuh hari tujuh malam tak habis bebel kat aku. Batrisha bermonolog.
Sedang Batrisha mengemas, tiba-tiba terkeluar beberapa keping gambar dari salah satu buku di atas mejanya. Gambar Ilham yang sedang berdiri berlatar belakangkan dataran salji itu benar-benar menggamit memori yang tidak dapat dia tafsirkan. dia mendapat gambar itu pun atas ihsan Salina kerana kekerapan Batrisha bertanya perihal Ilham.
Bertahun-tahun Ilham ke luar negara tanpa mengirim berita kepadanya. Kalau adapun hanyalah melalui Salina atau Intan. Apakah Ilham masih marah padanya kerana peristiwa sewaktu kecil itu? Tapi Batrisha telah cuba sedaya upaya untuk menebusnya. Dan pada saat ini ingin sahaja dia membuktikan bahawa dia telah menjadi seperti apa yang Ilham mahukan. Apakah Ilham masih tidak sudi menganggapnya sebagai adik?
Sayu hati Batrisha. Lekas-lekas dia mengalih gambar tadi dan melihat gambar yang seterusnya. Gambarnya bersama Zakwan pula yang terpapar. Dia tiba-tiba tersenyum. Teringat Batrisha akan persahabatan yang telah mereka sulam selama berbelas tahun. Semenjak Batrisha di sekolah rendah sehinggalah kini dia sudah berusia 16 tahun. Persahabatan mereka tidak pernah pudar.
Zakwanlah sahabatnya yang paling memahami. Jika dia bercerita tentang Ilham pun, Zakwan kerap memberikan respon yang positif. Saling menasihati dan bergurau senda telah menjadi rutin dalam persahabatan mereka. Batrisha sangat bersyukur di kurniakan sahabat sebaik Zakwan.
Bersama gambar Zakwan, Batrisha merebahkan badannya ke atas tilam yang telah ’dilanyaknya’ sekian lama. Di atas tilam inilah terkumpulnya pelbagai kenangan. Di sinilah terkuburnya air mata tatkala di sakat oleh Ilham, keringat selepas penat bermain dengan Zakwan dan segala-segalanya.
Batrisha merenung lagi gambar Zakwan. Senyumannya. Kemesraannya. Dia benar-benar ada sewaktu Batrisha merindukan seorang abang seperti Ilham. Zakwan selalu ada di sisinya. Menjadi pendukung yang teguh di belakangnya. Menjadi telingan untuk mendengar segala-galanya.
Dalam pada itu, matanya kian melayu sehingga akhirnya terlelap sambil mendakap gambar Zakwan.

Cinta Hujan Batu 7

”Nek, bulan depan Ica nak pergi join perkhemahan boleh nek?” Batrisha meminta izin daripada Nek Jah. Nek Jah yang sedang tekun menjahit menoleh seketika. Tanpa sebarang kata, Nek Jah meneruskan jahitannya.
”Bolehlah nek, lagipun Wan dengan Abu pun pergi. Bolehlah nek ye.” Batrisha masi tidak puas hati memujuk.
”Pergi tanya mummy Ica.” Saran Nek Jah. Nak Jah sedar walaupun dia melarang, Batrisha tetap akan berkeras untuk pergi. Apatah lagi kalau berkaitan dengan aktiviti rekreasi. Sudah pasti kata-katanya dengan mudah dicantas oleh Batrisha dan dia pasti akhirnya akan berlembut hati untuk membenarkan Batrisha pergi.
”Alah nek, neneklah cakap dengan mummy. Kalau Ica yang cakap nanti mummy banyak soallah nek. Tolonglah nek. Nenek kan sayang Ica. Kan nek?” Bodek Batrisha lagi.
”Itulah kamu, kalau nak sesuatu pandailah kamu nak bodek nenek ye. Ke mana pulak kamu nak berkhemah kali ni?” Soal Nek Jah.
”Gunung Ledang, nek. Ica memang dah lama teringin nak naik gunung tu nek. Manalah tahu rezeki Ica dapat jumpa dengan Puteri Gunung Ledang.” Nek Jah ketawa mendengar gurauan Batrisha.
”Ha...nenek gelak, maknanya boleh pergilah kan nek?” Batrisha bersungguh.
”Iyelah. Ica tu kalau nenek larang pun tetap nak pergi juga kan? Kalau macam tu sama je.” Nek Jah bersuara mendatar.
”Alah, nek. Nenek jangan risau. Ica pandai jaga diri. Lagipun ini bukan kali pertama Ica pergi camping kan? Nenek tak payah risau, okey?” Batrisha meyakinkan Nek Jah. Nek Jah mererung wajah Batrisha sambil mengusap rambutnya.
”Nenek sakit kaki ye nek? Mari Ica urutkan. Tangan Ica ni macam bidan tau nek.” Ujar Batrisha sambil menyelak kain batik Nek Jah hingga ke paras lututnya.
”Nak bodek nenek lagilah tu.” Gurau Nek Jah.
”Isk, nenek ni, orang ikhlaslah. Tak baik tau nenek bersangka buruk.” Batrisha menukar posisinya dengan berbaring pula di ribaan Nek Jah.
”Aik tak jadi urut ke?” Soal Nek Jah.
”Nenek macam tak sudi je.” Batrisha buat-buat merajuk. Nek Jah menarik hidung Batrisha.
”Aduh, nek. Hidung Ica ni dah mancunglah nek. Hidung Ica ikut hidung nenek kan?” Gurau Batrisha. Nek Jah ketawa.
”Nenek ingat tak macam mana muka arwah mama dan papa Ica?” Soal Batrisha tiba-tiba. Nek Jah berhenti ketawa dan terdiam. Seingatnya inilah kali pertama Batrisha bertanyakan soalan itu semenjak dia membelanya. Kini Batrisha sudah berusia 16 tahun dan inilah kali pertama soalan seperti itu keluar daripada mulut Batrisha. Sebelum ini, Batrisha langsung tidak pernah menanyakan langsung perihal ibu dan bapa kandungnya.
”Nenek dah tak ingatlah tu ye.” Serkap Batrisha. Nek Jah masih terdiam. ”Tak apalah, nanti kalau nenek dah ingat nenek ceritalah dekat Ica ye nek. Ica nak tidur dekat riba nenek boleh nek?” Soalan itu juga tidak dijawab oleh Nek Jah. Tangannya mengusap perlahan rambut Batrisha. Akhirnya Batrisha benar-benar terlelap di ribaan Nek Jah.

”Mak cik, mana suami saya?” Soal Karina.
”Nak, sabar ye. Suami anak ni, tak dapat diselamatkan. Allah lebih sayangkan dia nak. Sabar ye nak?” Perlahan suara Nek Jah mengkhabarkan berita yang menyedihkan itu kepada Karina.
”Ya Allah!!” Karina meraung. ”Anak saya mana mak cik? Anak saya mana?” Karina sudah seperti orang separuh gila pada ketika itu.
”Sabar nak, sabar! Salina!!” Nek Jah memanggil Salina.
Salina yang sedang duduk di luar wad datang sambil mendukung seorang kanak-kanak perempuan yang mengalami luka-luka kecil di tubuhnya.
”Batrisha anak, mama. Mari dekat mama sayang.” Anak yang tidak mengerti apa-apa itu hanya memeluk erat ibunya sewaktu dipertemukan dengannya.
Selepas kemalangan yang menyayat hati itu berlaku, Kamarul meninggal dunia di tepat kejadian. Karina pula telah mengalami koma selama dua hari. Mujur anak kecil kepada pasangan itu hanya mengalami luka-luka ringan.
Sepanjang Karina tidak sedarkan diri, Salinalah yang menjaganya. Kebetulah sahaja sewaktu dia dalam perjalanan pulang ke kampung, dia terserempak dengan kemalangan yang betul-betul terjadi di hadapan matanya. Tanpa berfikir panjang dia terus memberhentikan keretanya dan memanggil ambulans.
Syukurlah, walaupun pemandu kenderaan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, namun masih ada dua jiwa yang terselamat dalam kemalangan itu.
Sepanjang seminggu hanya Nek Jah dan Salina yang menjadi pelawat Karina di hospital. Salina pula tidak pernah lupa untuk membawa anak kecil yang dipanggil Batrisha oleh Karina itu bersamanya setiap hari.
”Batrisha, mari sini nak.” Anak kecil yang sudah cekap berjalan itu, menghampiri ibunya. ”Kak, boleh saya pinjam telefon bimbit?” Tanpa berfikir panjang Salina menyerahkan telefon bimbitnya kepada Karina yang terbaring di katil.
”Maaf, boleh tak biarkan kami sekejap.” Permintaan Karina itu dibalas dengan anggukan daripada Salina dan Nek Jah. Dari luar bilik wad yang bercermin itu, Salina dapat melihat dengan jelas Karina seperti sedang menghubungi seseorang. Sambil itu tangannya mengusap kepala Batrisha.
Salina menoleh ke arah Nek Jah yang kelihatan seperti sedang kepenatan. Maklum sahaja, sepanjang Karina terlantar di hospital itu, Nek Jah tidak pernah sehari pun tidak datang melawatnya.
”Mak, marilah kita ke kantin sekejap. Boleh jugak mak berehat sebelum kita balik nanti. Jom mak.” Ajak Salina. Tangannya memimpin lengan Nek Jah.
”Batrisha?” Soal Nek Jah.
”Biarlah dia dengan ibunya mak.” Salina bersuara perlahan. Jelas kelihatan wajah kasih di mata Nek Jah terhadap anak kecil yang baru kehilangan bapa itu.
”Mak rasa, kalau Karina tu masih tak sihat, eloklah kalau Batrisha tu tinggal dengan kita.” Nek Jah bersuara.
”Maksud mak, mak nak jaga dia?” Nek Jah mengangguk dan ianya membuatkan bibir Salina tersenyum.
”Saya pun ingat nak ambil dia jadi anak angkat mak. Itupun kalau Karina izinkan.” Salina menyedut air dari gelas minumannya.
”Kesian mak tengok Batrisha tu. Kecil-kecil lagi dah jadi anak yatim. Dia tek sempat belajar apa-apa pun tentang hidup dari ayah dia.” Sayu suara Nek Jah.
”Dia sama macam saya kan mak?” Salina menyoal serta merta Nek Jah mendongak memandang Nek Jah. ”Salina tak pernah tengok pun muka ayah”.
Memang Salina tidak pernah langsung menatap wajah ayahnya. Semuanya kerana Sulaiman meninggal dunia sewaktu menentang komunis pada zaman darurat. Masih Nek Jah ingat bilamana orang kampung menyusung jenazah Sulaiman yang berlumuran darah di beranda rumahnya. Waktu itu Salina masih 7 bulan di dalam kandungannya.
Akibat terkejut, Nek Jah melahirkan Salina sebagai seorang bayi pramatang. Namun syukurlah Salina tetap dilahirkan sempurna tanpa caca-cela malah pintar pula di sekolah. Nek Jah sangat bersyukur.
”Mak, dah lama kita dekat sini. Jomlah kita tengok Karina dengan Batrisha dekat atas tu.” Ajakan Salina mengejutkan Nek Jah daripada lamunannya yang jauh ke masa silam.
Batrisha sedang lena lengan Karina sewaktu Nek Jah dan Salina sampai di wad. Karina juga kelihatan lena di atas katilnya.
”Nak kejutkan ke tak ni Salina?” Tanya Nek Jah. ”Tak sampai hati pulak mak nak kejutkan dua beranak ni.”
”Ish, mak. waktu melawat dah nak habis pun ni. Kejutkan jelah mak. Lepas ni kalau Karina nak berehat dia boleh sambung lagi”. Salina memberi cadangan.
”Karina, Batrisha. Bangun sayang”. Nek Jah memanggil nama Karina dan Batrisha perlahan. Tangannya juga mengusap-usap anak rambut Batrisha yang halus itu.
Setelah beberapa kali memanggil nama Batrisha, kanak-kanak itu bangun sambil menyapu matanya.
”Mama!” Batrisha bersuara manja. Karina langsung tidak terkutik.
”Karina. Bangun Karina.” Salina pula yang memanggil sambil menggoyangkan sedikit tubuh Karina. Ish mak, Karina tak bangun ni mak. Salina bersuara tidak sedap hati.
Nek Jah yang duduk di belakang Batrisha segera mencapai lengan Karina. Sejuk. ”Panggil doktor cepat Salina.” Nek Jah mengarah.
Salina yang sedang kalut berlari mendapatkan doktor. Batrisha hanya memandang drama yang berlaku di hadapan matanya. Tidak pasti sama ada dia faham atau todak dengan situasi yang sedang berlaku pada ketika itu.
“Dia dah tak ada, puan”. Doktor Isa mengesahkan. Salina memeluk Batrisha yang hanya duduk senyap di kerusi. Matanya berair namun esakannya langsung tidak kedengaran.
“Puan, semalam Puan Karina minta saya serahkan surat ni kepada puan.” Seorang jururawat menyerahkan sekeping sampul surat kepada Salina sewaktu dia sedang menyiapkan urusan membawa pulang jenazah Karina.
Salina terkejut, namun masih menyambut sampul tersebut dengan tenang. Jelas, Karina benar-benar ingin memintanya menjaga Batrisha. Katanya mereka memang tidak mempunyai seorang pun saudara mara. Salina yang sudah bersedia dengan kemungkinan itu bertekad dalam hatinya untuk menjaga Batrisha seperti anak kandungnya sendiri.

Cinta Hujan Batu 6

EMPAT tahun telah berlalu. Tahun depan, Batrisha bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini. Semakin tekun pula dia belajar. Dia ingin sekali melanjutkan pelajarannya ke United Kingdom. Dia ingin mengikut jejak langkah Ilham. Salina dan Nek Jah bangga melihat usaha dan kesungguhannya.
Hubungan Batrisha dengan Zakwan pula semakin akrab bagaikan isi dengan kuku pula. Di mana ada Zakwan di situlah ada Batrisha. Memang susah untuk memisahkan mereka. Melihatkan situasi itu, Nek Jah semakin risau.
Batrisha sudah menjangkau ke usia anak dara. Namun sikap dan tabiatnya masih tidak berubah. Dia hanya suka berkawan dengan budak lelaki. Rambutnya pun tidak pernah dia biarkan panjang. Setiap awal tahun pasti dia akan ke rumah Samsiah memintanya untuk memotong pendek rambutnya.
Bukannya Nek Jah tidak pernah menegur. Tapi biasalah, ada sahaja alasan yang akan keluar daripada mulut Batrisha. Rimaslah, tak biasalah dan yang paling Nek Jah tak tahan, ”Sajalah nek, fesyen tahun baru”. Entahlah, sampai penat Nek Jah membebel, akhirnya Nek Jah hanya menggeleng dan membiarkan sahaja Batrisha dengan perangainya itu.
”Assalamualaikum!!” Suara Zakwan memecah kesunyian halaman rumah Nek Jah. Tidak cukup dengan itu, dia membunyikan pula bunyi loceng basikalnya. ”Assalamualaikum!!”
”Waalaikumussalam. Oh, Wan.”
”Hurm....Bad.... Batrisha dan siap ke Nek Jah?” Soal Zakwan apabila melihat kelibat Nek Jah yang muncul dari bealakang rumah.
”Tengah bersiap lagi kot tu. Jawab Nek Jah. Ica!!! Cepatlah.” Wan dan sampai dah ni. Jerit Nek Jah dari tangga. ”Hei, kesian kamu Wan, kena mengunggu dia ke sekolah daripada kecil sampailah ke besar macam ni.”
”Sekejap!!!” Batrisha berlari menuju tangga rumah. Terkocoh-kocoh pula dia menyarungkan stokinnya.
”Mana tudung kamu, Ica?” Soal Nek Jah.
”Alah, tak sempatlah nek. Ica dah lambat.” Batrisha memberi alasan lagi.
”Ica ni ada sajalah alasan. Budak perempuan lain nenek tengok semua dah belajar pakai tudung. Ica ni bila lagi. Ica tahu tak Ica tu dah anak dara.” Bebel Nek Jah sedang Batrisha sibuk mengikat tali kasutnya.
”Alah, pergi mengaji kan Ica pakai tudung.” Jawab Batrisha. Nek Jah menggeleng. Sudah kering idea dia dengan cucunya yang seorang ni. Zakwan pula hanya jadi pemerhati sahaja drama antara seorang nenek dengan cucu itu.
”Jom Wan!” Batrisha menyorong basikalnya dari bawah rumah. ”Nek, Ica pergi sekolah dulu tau. Nenek tak yah risaukan Ica, tak yah membebel lagi okey? Nanti nenek cepat tua.” Lantas Ica mengucup pipi neneknya. Tersenyum Nek Jah dengan gurauan cucunya itu. ”Okey nek, bye!”
”Bad, kau dah daftar persatuan dan kelab ke belum?” Soal Abu.
”Eh, dah keluar iklan ke?” Soal Batrisha kembali. ”Aku dengar ada kelab baru buka kan? Kelab rekreasi kalau tak silap.”
”Ye ke? Aku nak join lah. Aku tau mesti kau pun nak join kan Bad?” Abu mengagak.
”Mestilah. Aku memang minat benda-benda rekreasi ni. Kalau tak takkanlah beratur sijil pengakap aku masa sekolah rendah dulu.” Batrisha bangga.
”Aku nak join jugak wei!” Zakwan yang tiba-tiba datang menyampuk.
”Kau nak join apa pulak ni?” Soal Batrisha.
”Yang korang nak join tu lah.” Jawab Zakwan sambil menggaru kepala. Terbahak-bahak Batrisha dan Abu ketawa.
”Kenapa?” Zakwan kepelikan.
”Kau ni, tulah lain kali beri salam dulu. Tak tahu hujung pangkal tiba-tiba je nak menyampuk.” Kata Abu dengan tawa yang masih bersisa.
”Yelah... assalamualaikum. Ha, korang tengah cakap pasal apa tadi?” Soal Zakwan sambil meneguk air tin coca cola kegemarannya.
”Nak tau ke? Mari sini kau punya air dulu.” Acah Batrisha lalu tangannya terus sahaja mencapai minuman daripada tangan Zakwan. Tercengang Zakwan seketika. Abu yang memerhatikan hanya ketawa.
”Wei, jangan habiskan air aku!” Jerit Zakwan lalu merampas balik minuman dari tangan Batrisha. ”Cepatlah. Apa dia?”
”Kitorang nak masuk Kelab Rekreasi.” Batrisha dan Abu bersuara serentak.
“Maksud korang, kelab ni?” Zakwan menunjukkan sehelai kertas iklan. Abu terus merampas kertas tersebut daripada tangan Zakwan.
“Kepada sesiapa yang berminat dengan aktiviti rekreasi yang menarik dan mencabar, boleh mendaftar dengan Kelab Rekreasi sekolah melalui Cikgu Farhan pada minggu ini sahaja.” Abu membaca iklan itu dengan kuat. ”Cepat wei, aku takut nanti penuh pulak kelab tu.”
“Ye la, Wan. Jomlah. Kalau aku tak dapat masuk kelab ni, aku tak nak masuk apa-apa kelab pun. Jom!” Kata Batrisha sambil menarik lengan Zakwan.
”Apasal pulak?” Zakwan pelik.
”Ye lah, tak kanlah aku nak masuk Kelab Ekonomi Rumah Tangga tu pulak?” Kata-kata Batrisha itu disambut dengan tawa Zakwan dan Abu.
”Jadi kita semua setujulah untuk melantik Zakwan sebagai pengerusi kelab dan Batrisha sebagai timbalannya.” Seluruh ahli kelab bertepuk tangan dengan pengumuman Cikgu Farhan. ”Baiklah, aktiviti pertama kita pada tahun ini adalah perkhemahan tiga hari dua malam di Gunung Ledang.” Semua ahli kelab bersorak lagi. Begitu juga dengan Zakwan dan Batrisha.
Dari jauh ada sepasang mata yang sedang memerhatikan Batrisha tanpa Batrisha sendiri menyedarinya.

Cinta Hujan Batu 5

Batrisha duduk di atas pangkin yang dibuat Nek Jah di bawah pohon rambutan itu. Kepalanya didongakkan menghadap langit.
”Kau buat apa tu Bad?” Soal Zakwan yang pelik melihat tingkah laku sahabatnya itu. ”Kau tunggu hujan ke? Atau kau tengah tunggu buah rambutan nenek kau tu jatuh ke bawah?”
”Bukanlah Wan. Aku tengah tunggu kapal terbang lalu.” Jawab Batrisha selamba. Berderai tawa Zakwan mendengar jawapan selamba Batrisha.
”Kenapa? Kau nak tumpang kapal terbang tu untuk bawak bawak kau ke Kuala Lumpur ke?” Zakwan berjenaka.
”Bukanlah. Aku nak tengok kapal terbang yang bawa Abang Ilham pergi UK. Dia baru berlepas tadi.” Batrisha masih mendongak memandang langit.
Zakwan juga memandang langit. ”Entah-entah dia tak lalu sini kot Bad.”
”Mana boleh. Selalu tu aku nampak je banyak kapal terbang yang lalu sini.” Balas Batrisha yang tidak berpuas hati dengan kenyataan yang diberikan oleh Zakwan tadi.
”Yelah. Biar aku temankan kau ye.” Pelawa Zakwan.
”Suka hati kaulah Wan. Kalau kau sakit tengkuk jangan salahkan aku pulak.”
Batrisha masih mendongak disebelah Zakwan yang juga mendongak ke langit. ”Aku rasa, kita tak payah asyik dongak je kot Bad. Kalau ada kapal terbang yang lalu mesti kita dengar je bunyi dia kan?” Zakwan memberi cadangan. Mungkin kerana dia sudah penat mendongak.
“Kalau aku terlepas macam mana? Kalau kau penat, kau tak yah dongak. Biar aku je yang dongak. Kau baring je kat situ.” Jari telunjuk Batrisha yang runcing itu menunjukkan ke arah hujung pangkin. Zakwan hanya menurut.
Elok sahaja Zakwan merebahkan badannya, sebuah kapal terbang melalui ruang udara di rumah Nek Jah.
”Tengok tu, Wan! Kapal terbang Abang Ilham!” Batrisha melompat dari atas pangkin. Dia meloncat-loncat sambil melambaikan tangannya ke udara.
”Abang Ilham!!! Abang Ilham!!!!” Batrisha melaungkan nama Ilham dengan kuat sehinggakal Nek Jah yang sedang berehat di rumah turut mengintai di jendela.
”Sudahlah tu, Ica. Naik mandi. Dah nak masuk Maghrib dah ni.” Jerit Nek Jah antara larat dan tidak dari jendela biliknya.
”Ica nampak kapal terbang Abang Ilhamlah nek.” Jerit Batrisha kepada Nek Jah.Tak sia-sia aku tercongom kat lama kat sini, Wan. Batrisha ceria.
”Sudahlah tu, naik! Nanti nenek rotan nanti. Pergi bersiap ke surau cepat!” Nek Jah bersuara tegas. Bukan dia tidak tahu cucunya yang seorang tu. Kalau tak bertegas mulalah dia mencipta alasan yang entah apa-apa untuk berlengah-lengah.
”Bad, dah nak malamlah. Aku balik dulu. Jumpa malam ni dekat surau, okey.” Zakwan terus menyarung seliparnya dan bergegas untuk pulang. Takut juga kalau dimarahi emaknya nanti.
Batrisha memandang pemergian Zakwan dengan matanya sahaja sedang dirinya masih lagi dalam mood yang ceria selepas melihat sebuah kapal terbang yang melintasi ruang udara rumah Nek Jah. Entah betul itu kapal terbang yang membawa Ilham atau tidak. Batrisha langsung tidak mahu ambil tahu, namun dia yakin benar bahawa memang itulah kapal terbangnya.

”Ilham, ni ada orang nak bercakap dengan kamu.” Suara di hujung talian terus bertukar.
”Abang Ilham! Ica nilah! Abang, sorrylah Ica tak dapat hantar abang dekat lapangan terbang hari ni. Tapi Ica doakan abang selamat. Abang..... ”Tut..tut... talian terputus.
“Nenek, kenapa ni nek? Tiba-tiba talian terputus ni. Ica nak cakap dengan Abang Ilham lagilah nek”. Batrisha tidak puas hati.
”Kredit nenek dah habislah kot.” Jawab Nek Jah sambil menyambut telefon bimbit hadiah daripada Salina.
”Alah, nenek ni bukan nak topup banyak-banyak. Habis Ica tak sempat nak dengar pun suara Abang Ilham tau”. Batrisha merengek.
”Alah, nanti-nanti kan boleh telefon lagi”. Ujar Nek Jah demi memujuk Batrisha.
Ilham memandang telefon bimbit Intan di tangannya. Sudah lama benar dia tidak mendengar suara itu. Sebenarnya dia terkejut sewaktu suara Batrisha memecah gegendang telinganya. Mungkin kerana tindakan rifleks, Ilham terus memutuskan talian.
Baginya, suara itu langsung tidak dibenarkan masuk ke ruang telinganya. Bukan setakat suara, wajahnya juga tidak dibenarkan masuk ke dalam ruang memorinya. Dia tidak mahu mengingat apa-apa pun yang berkaitan dengan Batrisha. Begitu sekali marah Ilham kepada Batrisha.

Cinta Hujan Batu 4

”Belajar kat sana elok-elok ye Ilham.” Ucap Salina agak syahdu. Segera bahu tubuh anaknya itu didakapnya erat.
”Mummy janganlah risau. Tahulah Ilham jaga diri. Mummy pun kena jaga kesihatan tau.” Ilham mengesat air mata yang jatuh di birai mata ibu kesayangannya.
“Abang, ni ada call sekejap.” Intan menghulurkan telefon bimbitnya kepada Ilham.
“Dari siapa?” Soal Ilham pula.
”Nenek.” Ilham tersenyum mendengar jawapan dari mulut Intan.
”Assalamualaikum nenek. Nenek sihat?” Ilham memulakan bicara sopannya bersama Nek Jah. Salina hanya memerhati dari jauh. Jauh di sudut hatinya dia terasa berat sekali untuk melepaskan anak bujangnya itu untuk terbang jauh darinya. Namun apakan daya, ini semua adalah untuk kebaikan anaknya itu juga.
”Nah, Intan.” Ilham menyerahkan semula telefon bimbitnya kepunyaan Intan.
”Okeylah mummy, dah tiba masa nak berlepaslah.” Sekali lagi Ilham memeluk Salina. Lama. Mungkin dia juga berasa berat untuk meninggalkan ibu yang membesarkannya sejak daripada kecil setelah bapa yang diharapkan untuk membela nasibnya pergi meninggalkan mereka sekeluarga.
”Intan, jaga mummy tau.” Ilham meninggalkan amanat sambil tangannya mengusap rambut Intan. Walaupun selalu bertekak dengan Ilham itu, namun tumpah juga air mata Intan untuk melepaskan Ilham pergi. Almaklumlah, Ilham bukannya pergi dekat-dekat, tetapi jauh pula di United Kingdom. Entah berapa jam pula yang perlu diambil untuk ke sana. Akhirnya, hanya lambaian terakhir Ilham yang kelihatan setelah dia melepasi tempat pemeriksaan.
”Kesian Ica tak dapat datang sini tengok abang pergi kan mummy.” Kata Intan sewaktu perjalanan pulang bersama Salina.
”Yelah. Tiba-tiba nenek demam pulak. Mujur dia ada di kampung nak tengok-tengokkan nenek.” Salina meneruskan pemanduannya menuju ke rumah. Dalam otaknya teringat permintaan Batrisha untuk ikut sama menghantar Ilham ke lapangan terbang.
Namun apakan daya, ibunya tiba-tiba jatuh sakit di kampung. Kenduri doa selamat yang dibuat di rumah Salina juga tidak dapat dihadirinya. Dalam hatinya tetap bersyukur kerana dipertemukan dengan anak bernama Batrisha. Walaupun pelbagai dugaan dihadapinya demi Batrisha namun dia tetap tabah.

”Jadi betullah apa yang kawan-kawan I selalu cakap pasal you selama ni.” Ikram menyalakan rokok di tangannya.
”Apa yang you cakap ni Ikram?” Salina menjadi pelik.
”You tak payahlah nak berlakon jadi baik pulak Salina. Bukannya I tak tahu yang you tu simpan lelaki dekat luar sana kan?” Ikram menambah.
”Ikram! Apa yang you mengarut ni? Sejahat-jahat I, I tak pernah buat perkara terkutuk tu lah.” Salina membela diri.
”Habis anak siapa pulak yang you simpan dekat kampung tu? You jangan ingat I bodohlah Salina.” Salina mengurut dadanya yang sakit dengan tohmahan tidak berasas yang dilemparkan oleh Ikram.
”Ikram, I rasa you ni dah salah fahamlah. Anak tu bukan anak kandung I lah. Itu anak angkat I.” Salina menerangkan duduk perkara sebenarnya kepada suaminya.
”Hahaha.”. Ikram ketawa tiba-tiba dan ianya benar-benar membuatkan Salina terkejut. ”You ingat I ni bangang sangat ke nak percaya kata-kata you tu, hah?” Ikram menengking pula. ”Semua kawan-kawan I dah kecoh, kata yang you ni buat hubungan sulit dengan lelaki entah mana-mana. Rupanya inilah kerja you waktu I di oversea ye.” Serkap Ikram lagi.
”You jangan nak tuduh I sebarangan Ikram. I tak pernah buat semua benda yang you tuduh tu lah.” Salina sudahpun menitiskan air mata. Hatinya benar-benar hancur. Dia langsung tidak menyangka yang kesetiaanya yang tidak berbelah bagi kepada suami tercintanya itu kini telah diragui oleh suaminya sendiri.
Ikram menghempaskan tubuhnya ke sofa. Langsung tidak dihiraukan Salina yang sedang teresak-esak menangis. Dia langsung tidak menyangka bahawa isteri yang dinikahinya lebih 12 tahun yang lalu telah berlaku curang kepadanya. Selama dia bertugas di China selama 6 bulan, dia meninggalkan Salina dengan penuh kepercayaan. Namun nampaknya semuanya telah dihancurkan oleh Salina.
Sangkanya selama ini hanya kawan-kawan yang ingin memburukkan isterinya itu. Namun apabila dia mendengar sendiri cerita dari mulut Intan tentang ‘adik’ di kampung dan melihat sendiri gambar anak kecil dalam telefon bimbit Salina, Ikram menjadi percaya dan yakin dengan segala cerita yang pernah sampai ke telinganya tentang isterinya.
“Salina, I tahu you rasa tak bahagia hidup dengan orang macam I. Yelah, I ni bukan macam suami orang lain yang ada di rumah selalu. Mungkin you tak puas kan?” Teriakan Salina semakin berdengung.
“Atau, you mungkin juga rasa tak bebas semenjak berkahwin dengan I. Ikram menyambung. Kalau you nak bebas, biarlah malam ni menjadi saksinya I be.....” Ikram tidak meneruskan kata-katanya apabila Salina tiba-tiba menerkam kakinya.
“Jangan Ikram. Tolonglah jangan cakap ayat tu. Ini semua salah faham je, Ikram. I sayangkan you!” Salina seperti kerasukan. Ikram memejamkan matanya sedang Salina masih memaut kuat kakinya dengan raungan yang semakin menjadi-jadi.
”Salina. Ikram menarik nafasnya dalam-dalam. Aku lepaskan kau dengan talak satu.” Dengan lafaz itu, sekelip mata Salina merasakan yang dunianya tiba-tiba bertukar menjadi gelap. Dia langsung tidak menyedari apa-apa sehinggalah dia merasakan ada tangan-tangan kecil yang menggenggam erat jari-jemarinya.
”Mana daddy sayang?” Soal Salina sebaik sahaja membuka matanya.
”Daddy dah pergi mummy.” Ujar Ilham sayu. Ada manik-manik jernih di tubir matanya. Jelas kelihatan seperti dia cuba menahan tangis di depan Intan. Namun dia gagal. Apalah yang mampu dilakukan oleh kanak-kanak sekecil Ilham pada ketika itu.
Dan, itulah kali terakhir Salina melihat Ilham menitiskan air matanya.

Ilham merenung pemandangan yang indah dari tingkap kapal terbang BOEING 5112 itu. Seingat Ilham, itulah kali pertama dia menaiki kapal terbang selepas usianya 7 tahun. Itupun sewaktu dia dan keluarganya bercuti ke Langkawi.
Seingatnya itulah kenangan terakhirnya bersama bapanya sebelum bapanya pergi begitu sahaja meninggalkan mereka sekeluarga. Semenjak itu Salinalah yang berusaha gigih membesarkannya sehinggalah kini dia mampu terbang ke UK untuk melanjutkan pelajarannya.
Apabila memori itu menyinggah, wajah seseorang tetap menyelit ke dalam kotak ingatan Ilham. Wajah kanak-kanak perempuan yang berkulit hitam manis, selalu bertocang dan memakai skirt. Bukan Intan. Tapi Batrisha.
Ilham tiba-tiba mengetap bibirnya dan menggenggam buku limanya. Terasa kembali dendam lamanya terhadap kanak-kanak itu. Walaupun sudah bertahun-tahun lamanya, namun kesannya tidak pernah pudar dalam ingatan Ilham.
Baginya, Batrishalah penyebab mummy dan daddynya bercerai dan mereka hidup tanpa kasih sayang seorang ayah. Semuanya kerana kehadiran seorang kanak-kanak bernama Batrisha.
Ilham merebahkan kerusinya. Dia memejamkan matanya. Dia ingin melupakan wajah kanak-kanak perempuan itu. Ingin melupakan suaranya. Ingin melupakan segala-galanya tentang Batrisha.

Cinta Hujan Batu 3

”Apa yang korang termenung kat sini?” Soal Batrisha. Pelik dia melihat Zakwan, Abu dan Ijai yang duduk menongkat dagu di tepi padang.

”Tu.” Ijai menunjukkan ke arah seorang perempuan bertocang dua yang sedang bermain bola jaring.

”Alah, setakat jaringkan bola macam tu, aku pun boleh.” Lagak Batrisha. Namun pandangan ketiga-tiga budak lelaki tu langsung tidak terganggu.

“Siapa nama dia hah?” Tanya Zakwan pula.

”Alah, takkan korang tak tahu. Itu kan Nadia. Anak guru besar baru tu.” Jawab Batrisha selamba.

”Oh.... Nadia.” Ketiga-tiganya bersuara serentak. Batrisha ketawa besar.

”Korang ni dah macam Bujang Lapuk aku tengok. Dah lah wei, jomlah balik. Petang ni kan kita nak pergi memancing kat sungai belakang rumah nenek aku. Jom wei!” Ajak Batrisha. Namun, ketiga-tiga budak lelaki itu langsung tidak berubah tempat.

”Adoi...apa dah kena dengan korang ni. Lantak lah korang, apa-apa pun jumpa petang ni lepas Asar kat sungai ye!” Batrisha terus mengayuh basikalnya meninggalkan sahabat-sahabatnya itu.

Cuaca yang panas tengahari itu benar-benar membuatkan Batrisha bermandi peluh. Dia makin melajukan kayuhannya. Terbayang di ruang matanya air sirap ais yang berwarna merah yang sejuk dan penuh nikmat.

Sampai sahaja di halaman rumah Nek Jah, Batrisha terkejut melihat kereta mummy yang sudah elok terpakir di bawah pokok ceri yang rendang.

”Mummy tak cakap pun nak datang.” Batrisha menyorong basikalnya dan diletakkan elok di bawah rumah.

”Assalamualaikum mummy.” Batrisha menyalami Salina dengan penuh sopan. Ibu tunggal itu tersenyum lantas mencium dahi Batrisha yang kilat berpeluh.

”Busuknya anak mummy ni.” Gurau Salina.

”Ye la, tadi Ica sprint tu yang berpeluh-peluh ni. Mummy tunggu ye, Ica nak mandi sekejap.” Batrisha meminta diri.

”Nenek, tolong siangkan ikan ni boleh tak?” Batrisha menyuakan beberpa ekor ikan sepat dan puyu yang berjaya dipancingnya petang tadi.

”Ica ke yang pergi tangkap ikan ni?” Tanya Salina kagum melihat anaknya.

”Yelah mummy. Ica memancing sorang-sorang je hari ni. Zakwan, Abu dengan Ijai tu kata je nak memancing sama tapi batang hidung dorang tak nampak pun.” Rungut Batrisha.

”Kawan-kawan Ica semuanya lelaki ke?” Tanya Salina.

”Hurm... tak lah. Ada jugak yang perempuan. Tapi tak berapa ngamlah mummy.”

”Kenapa?”

”Yelah, diorang tu asyik nak terasa je. Cakap sikit nak terasa. Ajak main basikal pun tak nak. Penat lah, panas lah. Apa-apa entah. Kalau dengan Wan, Abu dan Ijai senang mummy. Lagipun, Abang Ilham kan tak suka kawan dengan orang lembik. Kan mummy?”

Salina hanya tersenyum mendengar kepetahan anak angkatnya yang berusia 12 tahun itu. Daru jauh, Nek Jah hanya memerhatikan dua beranak itu berbual sambil tangannya mengemas baju-baju yang telah siap di jahit tulang belut.

Batrisha menjadi anak angkat Salina sejak dia berusia 3 tahun. Waktu itu, Batrisha dan kedua ibu bapanya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya berhampiran dengan jalan masuk ke kampungnya.

Selaku saksi utama dalam kemalangan yang menyayat hati itu, Salina rasa bertanggungjawab untuk memelihara Batrisha. Lalu Batrisha dijadikan anak angkatnya.

Namun begitu, sewaktu Salina bersiap untuk membawa Batrisha pulang ke Kuala Lumpur, Nek Jah pula mempelawakan dirinya untuk membesarkan Batrisha. Salina tidak mampu berbuat apa-apa melainkan hanya bersetuju sahaja dengan permintaan ibu kandungnya itu.

Pun begitu, hampir setiap minggu Salina akan pulang ke kampung untuk berjumpa dengan Batrisha. Kadang-kadang dia membawa sama anak-anaknya yang lain. Mujurlah Intan menerima kehadiran Batrisha dalam keluarga mereka. Cuma Ilham yang bersifat agak ganjil.

Ilham anak sulung Salina. Sewaktu mengetahui yang Salina ingin mengambil anak angkat dia baru berusia 9 tahun. Pada awalnya dia agak gembira dan berharap bahawa adik angkatnya itu nanti adalah lelaki. Namun apabila mendengarkan jantinanya perempuan, Ilham seolah-olah mengisytiharkan perang terhadap Batrisha.

Batrisha tidak pernah dilayan baik oleh Ilham. Ada sahaja pasal yang ingin dicarinya apabila bertemu dengan Batrisha. Apabila di buli oleh Ilham, Batrisha hanya tahu menangis sahaja. Itulah sahaja senjata yang dia ada.

“Ilham, tak baik buat dekat Ica macam tu. Dia anak yatim tahu. Berdosa Ilham nanti.” Nasihat Nek Jah apabila melihat sikap cucu sulongnya itu seakan menjadi-jadi.

“Alah, bila ada budak tu, semua orang sayang kat dia. Semua dah lupa dekat Ilham.” Itulah ayat yang sering keluar dar mulut Ilham sekiranya ada orang yang ingin membela Batrisha.

Namun, ada sekali Salina pelik dengan tingkah laku Batrisha. Dia naik ke rumah Nek Jah dengan ibu jari kaki kanannya berdarah. Tapi dia langsung tak menangis.

“Ya Allah, kenapa ni Ica?” Soal Salina. Dia agak cemas melihat kuku anaknya itu terkopak. Batrisha hanya menggeleng dan berlari ke dalam biliknya. Salina menjenguk ke halaman. Dia melihat Ilham yang sedang duduk di atas basikal sambil matanya memendang ke atas rumah.

”Ilham, naik!” Jerit Salina dari atas. Ilham yang kecut perut mendengar teriakan mummynya terus menyembunyikan diri di dalam bilik mandi.

Malam itu, Salina merawat cedera di kaki Batrisha. Batrisha yang sedang tidur sesekali bergerak akibat kesakitan.

”Kesian Ica kan mummy. Abang Ilham tu memang tak patut buat Ica macam ni kan mummy.” Perlahan suara Intan.

”Apa yang Abang Ilham buat dekat Ica, Intan?” Salina menyoal selidik.

”Entah, Intan nampak diorang bersembang-sembang sekejap. Lepas itu kenapa entah, tiba-tiba abang langgar kaki Ica dengan basikal. Abang kata kalau nak kawan dengan abang, jangan mengadu dengan mummy atau nenek dan jangan nangis. Lagi apa entah abang cakap, Intan tak dengar dah.” Adu Intan.

Sayu hati Salina mendengar cerita Intan. Tangannya menyapu lembut rambut Batrisha sambil matanya memandang Ilham yang sedang enak tidur sambil memeluk bantal.

Mummy ni asyik termenung je. Kenapa mummy?” Soal Batrisha selepas keluar dari bilik mandi. Salina baru tersedar dari lamunannya hanya tersenyum.

”Mummy, kenapa Kak Intan dengan Abang Ilham tak datang sekali?” Soal Batrisha.

”Oh...abang dan kakak Ica tu ada dekat KL. Abang Ilham tengah buat preparation ke UK. Kak Intan pulak ada dekat asrama.” Jawab Salina lembut.

”Wah, Abang Ilham dapat pergi UK. Bestnya mummy. Ica teringin nak jumpa Abang Ilham. Dah lama sangat dia tak datang sini. Kalau Ica pergi sana pun dia selalu tak ada dekat rumah.” Kata-kata Batrisha itu betul-betul membuatkan hati Salina sayu.

”Mummy, nanti kalau nak hantar abang pergi airport, Ica nak ikut ye. Ica nak lambai-lambai dekat abang, Ica nak cakap yang Ica dah boleh jadi kawan Abang Ilham sebab Ica dah tak kuat mengadu dan tak menangis lagi.” Ujar Batrisha sambil meratah jagung rebus yang di masak Nek Jah.

Salina hanya tersenyum. Rambut Batrisha diusap lagi. ”Yelah sayang.”

Cinta Hujan Batu 2

”Assalamualaikum. Bad...oh Bad.” Laung Zakwan dari halaman rumah Nek Jah.

”Oh, Wan. Sekejap, Ica tengah bersiap lagi tu. Ica cepat siap!” Laung Nek Jah dari muka pintu.

”Ye la... Ica dah siap lah ni. Jom Wan. Ica pergi dulu ye nek.” Batrisha terus menyalami tangan Nek Jah. Dengan pantas, Nek Jah menarik topi yang menutup kepala Batrisha.

”Orang perempuan tak pakai topi macam ni lah Ica.” Ujar Nek Jah. ”Ni untuk orang lelaki je. Macam Wan, macam pak su. Kan Wan?” Zakwan hanya tersengih dari atas basikalnya.

”Alah nek, kat luar tu panas terik. Ica pakai topi untuk berlindung dari matahari je lah nek. Nanti kalau muka Ica hitam macam mana?” Batrisha mengumpan Nek Jah.

”Kalau panas, pakai payung”. Ujar Nek Jah sambil menunjukkan kearah payung berwarna hitam di tepi tangga.

”Tak nak lah nek. Pakai payung tu nanti orang ingat Ica ceti pulak.” Tergelak Zakwan mendengar ayat itu dari mulut Batrisha. Akhirnya Nek Jah terpaksa mengalah juga dengan mulut cucunya yang petah itu.

”Wan, kita lumba nak hari ni?” Ajak Batrisha.

”Tak nak lah Bad, nanti Nek Jah marah macam hari tu.” Zakwan menolak.

”Hari tu? Time tu siapa suruh kita lumba depan rumah nenek aku. Hari ni nenek aku tak nampak, jomlah Wan. Okey, kalau kau menang aku belanja kau ais krim pong nak?”

”Hurm....okeylah. Ke garisan, sedia, mula!” Zakwan dan Batrisha memulakan kayuhan basikal masing-masing. Pada awalnya Zakwan mendahului perlumbaan namun, selepas satu selekoh sebelum masjid, Batrisha berjaya pula mendahului Zakwan.

Batrisha tersenyum selepas berjaya memotong Zakwan. Apatah lagi apabila dia sudah melihat pintu pagar sekolahnya. Nampaknya Zakwan terpaksa berputih mata kali ini.

Namun senyumannya hanya semetara. Dalam jarak kurang dari lima meter dari pintu pagar sekolahnya, Batrisha terlanggar lopak yang dalam sehingga menyebabkan dia dan basikalnya terpelanting ke tepi jalan.

Zakwan yang melihat kejadian itu tergamam seketika. Dia hanya sedar apabila melihat Batrisha yang cuba bangun.

”Bad, ko tak apa-apa ke?” Soalnya panik.

“Tak apa...aku okey. Aduh!” Batrisha menjerit kecil.

“Siku kau berdarah, Bad.” Batrisha hanya memandang luka di sikunya yang mengeluarkan darah yang berwarna pekat. Cepat-cepat Zakwan mengeluarkan sapu tangan dari poketnya lalu dibalutnya luka Batrisha.

”Jomlah Bad aku hantar kau balik.” Ujar Zakwan sambil membantu Batrisha berdiri.

“Gila kau. Kau nak tengok nenek aku rotan aku macam hari tu? Huh...tak sanggup aku. Tak apalah Wan, sikit je ni. Jomlah kita masuk.”

Mujur hari itu hari Sabtu dan itu hanyalah kelas tambahan. Jadi tidak ramailah yang perasan akan kecederaan yang dialami oleh Batrisha hari itu.

Ica cari apa kat situ. Nek Jah menegur Batrisha apabila melihat dia meraba-raba ke atas para yang tinggi.

”Hah...jumpa pun.” Batrisha tersenyum apabila menjumpai botol minyak gamat dari atas para itu.

”Nak buat apa dengan minyak tu Ica?” Soal Nek Jah lagi.

”Hurm....tak ada apa nek. Nek, Ica masuk tidur dulu ye. Selamat malam nek.”

”Hurm..” Tanpa mengesyaki apa-apa Nek Jah hanya menghantar langkah Batrisha dengan ekor matanya sahaja. Tumpuannya diteruskan dengan menyiapkan jahitan tulang belut yang pada baju tempahan.

Di dalam bilik, Batrisha melihat luka pada sikunya. Besar juga, bisiknya. Apabila dia menyelak seluarnya pula, jelas kelihatan calar-balar yang pelbagai saiznya. Dengan berhati-hati dia menyapukan minyak gamat pada setiap luka tersebut.

Batrisha cuba tidak bersuara sedikit pun walaupun sakitnya sukar hendak digambarkan. Dia takut ketahuan dengan Nek Jah. Mahu sampai esok pun tak habis bebelannya.

”Macam mana luka kau hari tu Bad? Dah okey?” Soal Zakwan apabila sesi persekolahan minggu itu dibuka.

”Okey je, cuma luka dekat siku ni je, tak kering lagi. Apa-apa pun terima kasihlah tolong aku hari tu.” Ucap Batrisha ikhlas.

”Lah...kita kan bestfriend. Apa nak berkira sangat.” Balas Zakwan.

Batrisha bangga mempunyai kawan baik seperti Zakwan. Dia memahami, mengambil berat dan yang paling penting, satu kepada dengannya. Itu jugalah mungkin yang menjadi resepi mengapa hubungan persahabatan mereka berdua berkekalan dari darjah satu hingga kini mereka sudah di darjah enam.

”Bad, apasal kau suruh aku panggil kau Bad hah? Sedangkan kat rumah, Nek Jah panggil kau Ica kan?” Soal Zakwan.

”Saja.” Ringkas jawapan Batrisha. Dengan jawapan itu, malas Zakwan hendak menyoal lagi. Melihat Zakwan terdiam Batrisha menyoal, ”kenapa? Kau tak suka ke?”

”Eh, tak lah. Cuma aku pelik je. Tapi aku selesa je, Bad ke Ica sama je. Kalau panggil Bad, aku rasa kau ni dah macam geng-geng lain macam Abu, Ijai dan yang lain-lain. Senang sikit aku.”

Batrisha tersenyum mendengar kata-kata Zakwan. Begitulah sikap dan perwatakan Batrisha. Dari kecil kawan baiknya hanyalah Zakwan. Apa yang Zakwan main, itulah juga permainannya.

Pernah mummynya membelikan hadiah anak patung sewaktu hari jadinya. Namun, selepas melihat Zakwan menunjukkan aksi tidak berminat pada permainan itu, Batrisha terus memperosokkannya ke dalam almari.

Batrisha pun jarang mengenakan skirt atau blaus. Dia lebih selesa mengenakan seluar dan t-shirt sahaja. Apabila ditegur Nek Jah, alasannya kalau memakai skirt, malu kalau orang melihat betisnya yang putih itu.

Ada sahaja alasan dari mulut Batrisha yang sampai ke telinga Nek Jah. Kadang-kadang sampai dia sudah tidak kuasa lagi hendak menegur. Namun, sesekali terpaksa juga Batrisha mengenakan skirt dan blaus. Itupun kalau mummynya memaksanya sewaktu hendak keluar ke pekan.

”Bad, aku nak tanya ni. Kau ni perempuan ke lelaki hah?” Soal Abu sewaktu mereka ramai-ramai minum ais kacang di Warung Alang Husin.

”Kau rasa?” Soal Batrisha semula.

”Entah.” Jawab Abu sambil menghirup ais kacang dari mangkuknya.

”Ni, sini. Cuba kau eja lepas tu kau baca ni.” Batrisha menyuakan tanda namanya kepada Abu.

”B.A.T.R.I.S.H.A. Batrisha.” Abu membaca sepatah-sepatah.

”Pandai Abu eja ye. Bunyinya macam nama perempuan ke lelaki, Abu?” Soal Zakwan pula persis seorang cikgu.

“Hurm...perempuan lah kot.” Jawab Abu sambil menggaru-garu kepalanya. Semua yang ada di situ ketawa melihat galagat Abu. “Habis, kenapa kau suruh kitorang panggil kau Bad? Kan macam nama lelaki tu?”

“Saja je lah, Abu. Bad ke, Batrisha ke, tak pentingkan? Yang penting aku jadi sahabat korang semua.”

Begitulah Batrisha. Sikapnya disenangi. Tapi dia punya prinsip. Walaupun apa pun nama gelarannya, dia tetap Batrisha. Anak kepada seorang ibu yang penyayang, adik kepada kakak dan abangnya dan cucu kepada Nek Jah. Walaupun dia sedar bahawa di hanya ’penumpang’ dalam kelurga itu, namun dia akan berusaha untuk membahagiakan semua insan di sekelilingnya. Kerana baginya, merekalah yang memberi sinar baru dalam kehidupannya.